Di Bank Simpanan Nasional (BSN), keselamatan anda ketika berurusan secara dalam talian adalah keutamaan kami. Walaupun kami sentiasa mempertingkatkan langkah keselamatan kami, kewaspadaan anda juga memainkan peranan penting. Dengan mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapatkan maklumat yang tepat, anda boleh melindungi diri semasa melakukan transaksi perbankan dalam talian.

Ketahui cara mengenal pasti penipuan dan scam serta tip keselamatan penting untuk memastikan pengalaman perbankan dalam talian anda kekal selamat dan terjamin.

Tonton Video Kesedaran Scam di sini

Video kesedaran tentang pentingnya melindungi diri anda dan orang tersayang daripada menjadi mangsa penipuan.

Jenis Penipuan & Scam

Penipuan Pelaburan

Scammer menawarkan peluang pelaburan palsu dengan janji pulangan tinggi dan tiada risiko. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang, selalunya melalui media sosial atau platform palsu.

Penipuan e-Dagang

Penjual palsu mengiklankan produk murah di platform dalam talian, terutamanya di media sosial. Selepas pembayaran dibuat, barang tidak dihantar dan penjual menghilang.

Penipuan Pinjaman

Scammer menyamar sebagai pemberi pinjaman sah dan menawarkan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah. Mangsa diminta membuat bayaran awal seperti “yuran pemprosesan”, tetapi tiada pinjaman diberi.

Job Scam

Penipuan Pekerjaan

Mangsa ditawarkan kerja palsu dengan gaji menarik. Scammer akan meminta bayaran awal untuk “latihan”, “pakaian seragam”, atau “permit kerja”, dan lesap selepas menerima wang.

Cash Reward Scam

Penipuan Ganjaran Tunai

Anda menerima mesej yang menyatakan anda memenangi hadiah atau pulangan tunai tetapi perlu klik pautan atau beri maklumat peribadi. Ganjaran tersebut palsu; tujuannya adalah untuk mencuri data atau wang anda.

Perisian Hasad 

Mangsa diperdaya untuk memuat turun aplikasi atau fail palsu yang diam-diam mencuri maklumat perbankan atau memberi akses kepada scammer ke dalam peranti mereka.

Pancingan Data

Emel, SMS atau laman web palsu digunakan untuk memperdaya anda memasukkan maklumat log masuk, nombor IC, atau OTP. Maklumat ini kemudian digunakan untuk mencuri identiti atau mengakses akaun bank anda.

Akaun Keldai

Mangsa dipujuk (selalunya melalui tawaran kerja) untuk membenarkan akaun bank mereka digunakan bagi menerima atau memindahkan wang hasil scam. Tindakan ini adalah jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Penipuan Macau Scam

Scammer menyamar sebagai pihak berkuasa seperti polis, mahkamah, LHDN atau Bank Negara Malaysia. Mangsa diberitahu mereka terlibat dalam jenayah dan perlu memindahkan wang ke “akaun selamat” yang sebenarnya milik scammer.

Penipuan Cinta (Love Scam)

Scammer menjalin hubungan cinta palsu secara dalam talian untuk meraih kepercayaan mangsa. Kemudian, mereka meminta wang dengan pelbagai alasan seperti kecemasan perubatan atau kos perjalanan.

Tip Keselamatan

Di BSN, kami komited untuk memastikan ketenangan minda anda semasa melakukan urusan perbankan dalam talian. Namun, anda juga memainkan peranan yang penting dalam melindungi peranti dan maklumat dalam talian anda. Berikut adalah amalan terbaik yang perlu diambil kira semasa melakukan perbankan dalam talian:

Tip Perbankan Dalam Talian

Lindungi diri anda semasa melakukan perbankan dalam talian dengan mengambil beberapa langkah penting.

Tip Keselamatan Kad

Amalkan perlindungan kad dari hari pertama untuk memastikan anda sentiasa selamat.

Tip Keselamatan ATM

Berhati-hati di Mesin ATM: Tip Mudah Lindungi Wang Anda.

Cara Membersihkan Cache

Praktikkan agar maklumat anda tidak disimpan dalam sistem.

Sasaran lazim

Siapakah yang biasanya menjadi sasaran dan jenis penipuan yang disasarkan

Maklumat kumpulan umur mangsa diperoleh daripada liputan berita tempatan dan dapatan tinjauan.

Golongan Bekerja
(Umur 25-50 Tahun)

Faktor Sasaran: Aktif dalam talian, kewangan stabil dan berdikari

Jenis Penipuan:

  • Scam pekerjaan: Tawaran kerja palsu yang meminta bayaran awal untuk latihan atau permit.
  • Scam e-Dagang: Penjual palsu di media sosial.
  • Scam pelaburan: Janji untung cepat, sering melibatkan kripto atau hartanah.
  • Phishing: Emel/SMS palsu kononnya daripada “bank” atau syarikat penghantaran.

Warga Emas (Orang Tua)

Faktor Sasaran: Kurang mahir dengan teknologi, mudah percaya, sering berada di rumah.

Jenis Penipuan:

  • Macau scam: Scammer menyamar sebagai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara Malaysia dan lain-lain.
  • Scam cinta: Warga emas yang kesunyian diperdaya dalam hubungan cinta palsu.
  • Scam Hadiah atau Ganjaran Tunai: Mesej “anda menang” yang meminta bayaran yuran untuk tuntutan hadiah.
  • Scam Pelaburan: Menjanjikan pelaburan yang selamat dan pulangan tinggi.

Pelajar / Golongan Belia

Faktor Sasaran: Baru belajar urus kewangan, mudah tertarik dengan kerja sambilan atau wang mudah

Jenis Penipuan:

  • Scam akaun keldai: Diminta buka atau pinjamkan akaun bank untuk terima wang.
  • Scam cinta: Dipujuk untuk kirim wang kepada “pasangan” dalam talian.
  • Scam Pekerjaan: Dibayar untuk “like, share atau proses bayaran.”
  • Scam baucar permainan atau dalam talian: Promosi palsu atau tawaran tambah nilai.

Penafian: Ini bukan senarai lengkap; sentiasa berwaspada terhadap bentuk penipuan lain yang mungkin menyasarkan kumpulan yang berbeza.

Langkah – Langkah Pencegahan

Cara Melindungi Diri Anda Dari Penipuan & Scam?

Lindungi Maklumat Peribadi Anda

Jangan sesekali berkongsi butiran akaun bank, maklumat pengenalan diri, atau maklumat sensitif lain dengan pihak yang tidak dikenali atau platform dalam talian.

Pantau Aktiviti Akaun Anda

Sentiasa semak amaran transaksi dan penyata akaun bank anda secara berkala untuk mengesan sebarang transaksi yang mencurigakan. Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada bank dengan segera.

Tingkatkan Kesedaran

Ambil maklum tentang trend penipuan terkini dan beri didikan kepada rakan serta ahli keluarga anda untuk bantu melindungi mereka daripada menjadi mangsa.

Berhati-hati dengan Tawaran Pekerjaan, Permohonan Pinjaman, dan Pelaburan

Berwaspada dengan tawaran pekerjaan, permohonan pinjaman, atau pelaburan yang kelihatan terlalu indah untuk menjadi kenyataan.

Guna Laman Web 'SemakMule' untuk Kenal Pasti Akaun yang Digunakan Scammer

Semak maklumat pihak ketiga yang tidak dikenali melalui laman web SEMAKMULE.

Waspada Terhadap Tekanan dan Desakan

Ambil masa untuk mengesahkan maklumat kewangan atau peribadi.

Cara Melaporkan

Saya telah ditipu! Apa yang perlu saya lakukan?

Segera bertindak! Jika anda rasa telah menjadi mangsa penipuan atau mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dalam akaun bank anda, ikuti langkah-langkah berikut dengan segera:

Langkah 1:
Aktifkan Safe Switch
(Kill Switch)

Aktifkan Safe Switch serta-merta untuk menyekat Perbankan Internet myBSN anda sekiranya terdapat transaksi yang mencurigakan atau tidak sah.

Log masuk ke www.myBSN.com.my > Safe Switch > Deactivate > Confirm; atau
Log masuk ke myBSN Mobile App > Manage Security Settings > Safe Switch > Deactivate Now

Langkah 2:
Hubungi Kami atau Pusat Scam Respons Kebangsaan (NSRC) Segera

Hubungi kami di 1300 88 1900 (dalam Malaysia) atau +603 2613 1900 (Luar Negara), atau e-mel
customercare@bsn.com.my. Anda juga boleh menghubungi talian hotline NSRC di 997 (8:00 pagi hingga 8:00 malam setiap hari, termasuk cuti umum).

Langkah 3:
Laporkan kepada Polis dan kemukakan salinan Laporan Polis kepada kami

Laporkan kejadian di balai polis terdekat secepat mungkin bagi membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan rasmi.

Ancaman Penipuan Baharu di Malaysia

Penipuan Berasaskan AI dan Penyamaran Deepfake

Scammer kini menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk mencipta video dan audio deepfake yang meniru selebriti, ahli politik, atau pegawai penguatkuasa undang-undang. Penipuan dan penyamaran yang kelihatan meyakinkan ini digunakan untuk memperdaya mangsa supaya membuat pelaburan palsu atau mendapatkan maklumat peribadi yang sensitif. Golongan warga emas menjadi sasaran utama kerana simpanan kewangan mereka dan kemungkinan kurang pengetahuan tentang teknologi seperti ini.​

Penipuan Penahanan Digital

Penipu menyamar sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang melalui panggilan video dan menuduh mangsa terlibat dalam jenayah seperti pengubahan wang haram. Mereka kemudian memaksa mangsa untuk memindahkan wang bagi mengelakkan penahanan. Taktik ini semakin banyak dilaporkan berlaku di Malaysia dan negara jiran.

Serangan Smishing

Phishing melalui SMS atau lebih dikenali sebagai "smishing" masih berleluasa, di mana mesej yang dihantar menyamar sebagai bank, penyedia e-dompet, atau perkhidmatan penghantaran untuk mencuri data peribadi.

QRishing (Penipuan kod QR)

Penipu akan meletakkan kod QR palsu di tempat awam atau dihantar melalui mesej kononnya daripada bank, syarikat penghantaran atau agensi kerajaan. Apabila mangsa mengimbas kod tersebut, mereka mungkin akan terus dibawa ke laman web palsu atau tanpa sedar memberi maklumat peribadi dan perbankan. Jadi, hati-hati dan elakkan daripada mengimbas sebarang kod QR yang meragukan. Pastikan ia dari sumber yang sah dan boleh dipercayai dan sentiasa semak semula sebelum mengambil sebarang tindakan.

Peringatan Penting:

Kami ingin mengingatkan semua pelanggan bahawa BSN TIDAK PERNAH melantik mana-mana ejen pihak ketiga atau wakil luar untuk urusan berikut:

  • Permohonan pinjaman atau pembiayaan
  • Pengurusan transaksi perbankan bagi pihak anda
  • Pemindahan hadiah atau ganjaran tunai ke akaun BSN anda

Bagaimana dengan Ejen Bank BSN (EB)?

Ya, BSN mempunyai Ejen Bank (EB) yang sah, yang merupakan rakan kerjasama komuniti yang dilantik secara rasmi dan disahkan oleh BSN untuk menyediakan perkhidmatan perbankan asas, terutamanya di kawasan luar bandar atau kurang mendapat perkhidmatan.

Perkhidmatan rasmi yang disediakan oleh Ejen Bank BSN (EB) yang disahkan oleh BSN termasuk:

  • Deposit & pengeluaran tunai
  • Pembayaran bil
  • Urusan BSN SSP (Sijil Simpanan Premium)
  • Pembukaan akaun GIRO / GIRO-i
  • Perkhidmatan pembayaran tanpa tunai
  • Tambah nilai prabayar

Anda boleh menyemak lokasi atau wakil EB yang sah melalui saluran rasmi kami di sini.

Sentiasa Berwaspada. Lindungi Diri Anda

Jika seseorang mengaku sebagai "ejen BSN" dan menawarkan perkhidmatan seperti kelulusan pinjaman segera, bantuan akaun, atau wang ganjaran, itu adalah amaran bahaya (red flag).

  • Jangan kongsi maklumat perbankan anda
  • Jangan pindahkan wang

Sahkan atau Laporkan Tuntutan yang Meragukan

Tidak pasti sama ada seseorang itu adalah Ejen Bank BSN (EB) yang sah? Hubungi kami di 1300-88-1900 atau emel kami di
customercare@bsn.com.my untuk pengesahan.

Soalan Lazim (FAQ)

Laporkan Transaksi Tidak Sah - Apa yang perlu dilakukan jika anda ditipu?

Buat laporan rasmi dengan segera melalui saluran berikut:

  1. Hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami di 1300 88 1900 atau +603-2613 1900 (Luar Negara) atau;
  2. Hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari;
  3. Kunjungi cawangan terdekat kami untuk membuat laporan rasmi.

Setelah laporan rasmi telah dibuat, sila kunjungi Balai Polis yang berdekatan dengan segera untuk membuat laporan polis dan hantar salinan kepada kami melalui emel customercare@bsn.com.my atau kunjungi cawangan BSN kami yang terdekat.

Ya, anda masih perlu melaporkan insiden penipuan tersebut walaupun ia telah berlaku lebih daripada 24 jam kerana tindakan anda mungkin akan mengurangkan potensi kerugian dan melindungi orang lain dari menjadi sasaran.

Dengan melaporkan perkara tersebut, anda dapat membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap penipu terbabit dan meminimumkan kerugian lebih lanjut.

Semasa melaporkan insiden penipuan kepada bank, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM), anda perlu menyediakan maklumat yang berikut:

  1. Penerangan ringkas mengenai insiden penipuan:
    1. Kronologi kejadian termasuk masa dan tarikh;
    2. Kerugian Kewangan (RM)

  2. Butiran Peribadi Anda:
    1. Nama Penuh;
    2. Nombor Kad Pengenalan;
    3. Nombor Akaun Bank;
    4. Nombor untuk Dihubungi dan Nombor Alternatif;
    5. Alamat E-mail (jika ada).

  3. Butiran Suspek (Penipu):
    1. Nama dan Nombor Telefon;
    2. Butiran Transaksi (Nombor akaun bank, nama bank yang terlibat, jumlah, waktu dan tarikh transaksi yang dibuat).

  4. Resit Transaksi;

  5. Alamat laman Web (URL) yang dikongsikan oleh penjenayah;

  6. Komunikasi dengan penjenayah (contoh log panggilan, e-mel, perbualan melalui SMS / WhatsApp / Telegram / WeChat / e-commerce / platform yang lain).

Setelah mengemukakan aduan:

  1. Aduan anda akan diaku terima dalam tempoh 24 jam;
  2. Sekiranya kami memerlukan maklumat tambahan untuk membantu siasatan, kami akan menghubungi anda dalam masa tiga (3) hari bekerja.
  3. Kami akan menyiasat secara menyeluruh dan berkoordinasi dengan pihak berkaitan untuk memastikan aduan anda diselesaikan. Kami berusaha untuk menyelesaikan aduan ini dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan aduan;
  4. Sekiranya aduan memerlukan siasatan lanjut, kami akan memaklumkan tempoh lanjutan penyelesaian.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami untuk membuat susulan mengenai kes tersebut.

Jika akaun bank anda telah disekat, sila hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami atau kunjungi cawangan kami yang terdekat.

Jika akaun BSN anda telah dikompromi, hubungi bank-bank lain anda yang terlibat dengan segera untuk melindungi dan memastikan keselamatan akaun anda. Langkah seperti menukar kata laluan, membekukan kad bank, atau menyekat akaun buat sementara waktu mungkin perlu diambil.

Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC)

NSRC ialah pusat tindak balas kecemasan bagi penipuan dan fraud kewangan dalam talian. Ia merupakan operasi bersepadu yang melibatkan kerjasama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi. NSRC menyatukan sumber dan kepakaran daripada semua pihak ini untuk menangani penipuan kewangan dengan lebih pantas dan berkesan.

Waktu operasi NSRC adalah dari 8 pagi hingga 8 malam (termasuk hujung minggu dan cuti umum).

Jika anda tidak dapat menghubungi talian hotline NSRC, anda boleh terus menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami di 1300 88 1900 atau +603-2613 1900 (Luar Negara).

Ya. Selain memaklumkan kepada Pusat Perhubungan Pelanggan kami atau NSRC mengenai situasi anda, anda juga dikehendaki membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam. Laporan ini penting untuk membolehkan pihak berkuasa memulakan siasatan rasmi.

Tips Keselamatan

Jika anda perlu dihubungi, NSRC, polis, atau bank tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi anda, seperti nama pengguna, kata laluan, PIN, TAC, atau OTP.

Jika anda menerima permintaan sedemikian, sila letakkan telefon dan hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan kami dengan segera.

  1. Kerap periksa makluman transaksi, baki akaun, dan penyata anda. Laporkan sebarang transaksi yang tidak sah, kesilapan, atau percanggahan kepada bank dengan segera.

  2. Sahkan kesahihan mesej daripada bank dan ambil tindakan yang sewajarnya jika anda mengesan sebarang mesej penipuan.

  3. Baca tip keselamatan atau amaran di laman web kami sebelum memberikan maklumat sulit kepada bank atau pihak ketiga.

  4. Patuhi perkara yang berikut:
    1. Jangan dedahkan maklumat perbankan (Nama Pengguna dan kata laluan) kepada pihak ketiga,
    2. Pastikan peranti anda selamat
    3. Laporkan sebarang pelanggaran keselamatan atau kehilangan peranti kepada bank sebaik sahaja anda menyedarinya.

Sentiasa sahkan pihak ketiga yang tidak dikenali melalui laman web SEMAKMULE di https://semakmule.rmp.gov.my/

Semak Mule adalah portal dan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK). Ia membolehkan pengguna memeriksa sama ada nombor akaun bank atau nombor telefon terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah, terutamanya penipuan.

Dengan menggunakan Semak Mule, anda boleh menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon sebelum meneruskan transaksi, membantu melindungi diri anda daripada menjadi mangsa penipuan. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store dan juga boleh diakses melalui portal JSJK.

Sebelum memberi respons kepada sebarang SMS yang mendakwa daripada bank anda, sentiasa sahkan kesahihannya dengan memeriksa butiran pengirim, seperti nombor telefon, dan bandingkan dengan saluran komunikasi rasmi bank. Elak daripada klik pautan atau muat turun lampiran daripada SMS yang mencurigakan.

Jika anda mengesyaki bahawa SMS tersebut adalah penipuan, ambil langkah berikut:

  1. Jangan beri respons atau berinteraksi;
  2. Hubungi bank anda terus dengan menggunakan nombor Pusat Perhubungan Pelanggan yang rasmi;
  3. Laporkan SMS penipuan tersebut dan ikut prosedur laporan bank;
  4. Padamkan SMS tersebut;
  5. Pantau akaun anda untuk sebarang transaksi yang tidak dibenarkan dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan segera.

Sebelum memberi respons kepada sebarang SMS yang mendakwa daripada bank anda, sentiasa sahkan kesahihannya dengan memeriksa butiran pengirim, seperti nombor telefon, dan bandingkan dengan saluran komunikasi rasmi bank. Elak daripada klik pautan atau muat turun lampiran daripada SMS yang mencurigakan.

Jika anda mengesyaki bahawa SMS tersebut adalah penipuan, ambil langkah berikut:

  1. Jangan beri respons atau berinteraksi;
  2. Hubungi bank anda terus dengan menggunakan nombor Pusat Perhubungan Pelanggan yang rasmi;
  3. Laporkan SMS penipuan tersebut dan ikut prosedur laporan bank;
  4. Padamkan SMS tersebut;
  5. Pantau akaun anda untuk sebarang transaksi yang tidak dibenarkan dan laporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan segera.