Apakah Penipuan Malware?
Penipuan Malware adalah sejenis penipuan siber di mana penipu memperdaya mangsa untuk memuat turun perisian berbahaya (malware) ke dalam telefon atau komputer mereka. Perisian ini boleh mencuri data peribadi, maklumat perbankan, atau membenarkan penipu mengawal peranti anda secara rahsia.
Bagaimana Mengenal Pasti Penipuan Malware? (Tanda-Tanda Amaran Biasa)
- Anda menerima mesej atau emel yang mengandungi pautan atau fail mencurigakan untuk dimuat turun.
- Mesej tersebut menyatakan anda memenangi hadiah, terlepas penghantaran, atau perlu mengesahkan akaun anda.
- Pautan tersebut meminta anda memuat turun aplikasi atau fail APK selain dari Google Play atau Apple App Store.
- Telefon anda mula bertindak pelik termasuk di mana bateri cepat habis, muncul aplikasi tidak dikenali, atau aplikasi perbankan tidak berfungsi dengan betul.
Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan Malware
- Jangan klik pautan mencurigakan daripada SMS, emel, atau WhatsApp terutama dari penghantar yang tidak dikenali.
- Hanya muat turun aplikasi dari gedung aplikasi rasmi seperti Google Play atau Apple App Store.
- Elakkan memuat turun fail APK atau aplikasi yang dihantar melalui pautan.
- Gunakan perisian antivirus dan pastikan sistem operasi telefon anda sentiasa dikemas kini.
- Berhati-hati dengan mesej yang mendesak anda bertindak segera kerana penipu sengaja mencipta rasa panik.
Contoh Situasi Penipuan Malware:
Lina menerima SMS yang menyatakan bungkusannya tidak dapat dihantar dan diminta klik pautan untuk “jejak” penghantaran. Pautan itu membawa kepada muat turun aplikasi. Selepas memuat turun dan memasangnya, telefon Lina menjadi perlahan dan keesokan harinya, akaun banknya kosong. Aplikasi yang dimuat turun itu sebenarnya adalah perisian hasad yang merakam maklumat log masuk perbankannya.
Kesilapan yang dilakukan:
- Lina mempercayai mesej mencurigakan tanpa membuat pengesahan.
- Dia memuat turun aplikasi dari sumber yang tidak diketahui.
- Maklumat perbankannya terdedah melalui perisian hasad (malware) tersebut.
Pengajaran:
- Sentiasa berhati-hati dengan mesej yang meminta anda klik pautan atau muat turun aplikasi.
- Elakkan memasang aplikasi dari luar platform aplikasi rasmi.
- Syarikat yang sah tidak akan meminta anda memuat turun aplikasi melalui SMS atau WhatsApp.
- Sentiasa berwaspada kerana satu klik sahaja boleh membawa kepada kerugian besar.