Apakah Penipuan Cinta (Love Scam)?

Love Scam atau penipuan cinta berlaku apabila penipu memperdaya seseorang melalui hubungan cinta palsu dalam talian untuk meraih kepercayaan dan seterusnya menipu wang mangsa. Penipu biasanya menyamar sebagai individu yang menarik, berjaya dan penyayang — tetapi niat sebenar mereka adalah untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

Cara Mengenal Pasti Love Scam? (Tanda-Tanda Amaran Biasa)

  1. Mereka mengaku jatuh cinta terlalu cepat, walaupun belum pernah berjumpa secara bersemuka.
  2. Mereka mengelak daripada membuat panggilan video atau bertemu secara langsung, dengan alasan bekerja di luar negara.
  3. Mereka mendakwa menghadapi kecemasan dan meminta anda kirimkan wang untuk membantu.
  4. Mereka minta anda rahsiakan hubungan ini daripada keluarga atau rakan-rakan.
  5. Cerita mereka terlalu dramatik atau sukar dipercayai, seperti masalah kesihatan, kemalangan atau isu undang-undang.
  6. Mereka mungkin meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan, kononnya untuk menghantar bungkusan atau memindahkan wang.

Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Love Scam

  1. Berhati-hati jika seseorang dalam talian menyatakan cinta terlalu cepat.
  2. Jangan kirim wang kepada seseorang yang anda belum pernah temui secara fizikal.
  3. Buat semakan latar belakang — contohnya dengan cari gambar mereka menggunakan ‘reverse image search’.
  4. Bincang dengan ahli keluarga atau rakan sebelum membuat keputusan besar dalam hubungan.
  5. Lapor profil yang mencurigakan kepada platform yang anda gunakan (seperti Facebook, Instagram atau aplikasi dating).

Contoh Situasi Love Scam:

Nina, 41 tahun, berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook yang mendakwa dirinya jurutera asing yang bekerja di luar negara. Lelaki itu bersikap romantik dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengannya. Selepas beberapa minggu berbual, lelaki itu berkata dia mahu menghantar hadiah berupa wang tunai dan barang kemas. Tidak lama kemudian, Nina menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku pegawai kastam dan meminta bayaran RM3,000 untuk “cukai pelepasan bungkusan”. Kerana percaya dan sayang, Nina membuat bayaran. Beberapa hari selepas itu, lelaki itu hilang tanpa khabar. Tiada bungkusan, tiada hadiah dan wang Nina turut lesap.

Kesilapan yang Dilakukan:

  1. Nina mempercayai seseorang yang belum pernah ditemui secara bersemuka.
  2. Beliau tidak menyemak kesahihan identiti “pegawai kastam”.
  3. Beliau membuat keputusan berdasarkan emosi tanpa merujuk keluarga atau rakan.

Pengajaran:

  • Berhati-hati apabila menjalin hubungan dalam talian.
  • Jika seseorang mula meminta wang, walau apa pun alasan mereka, itu petanda besar penipuan.
  • Jangan kirim wang kepada orang yang belum pernah anda temui dalam dunia sebenar. Cinta yang tulen dibina atas kepercayaan, bukan rahsia dan permintaan wang.