Apakah penipuan Pinjaman?
Penipu memperdaya individu dengan menawarkan pinjaman yang kelihatan menarik, tetapi sebenarnya mereka ingin mencuri wang atau maklumat peribadi mangsa.
Cara Mengenal Pasti Penipuan Pinjaman (Tanda Amaran Biasa)
- Kelulusan Dijamin: Menjanjikan kelulusan segera walaupun anda mempunyai rekod kredit yang buruk.
- Bayaran Pendahuluan Diperlukan: Anda diminta membayar “yuran pemprosesan”, “duti setem” atau “insurans” sebelum pinjaman diluluskan.
- Tiada Pejabat atau Lesen Sah: Pemberi pinjaman tidak memberi maklumat perniagaan yang jelas atau tidak berdaftar.
- Proses Terlalu Mudah: Tiada semakan latar belakang atau dokumen diperlukan dan hanya perlu bayar dan dapat pinjaman.
- Komunikasi Tidak Profesional: Penggunaan bahasa tidak rasmi, banyak kesalahan tatabahasa, dan hanya berkomunikasi melalui WhatsApp.
- Desakan untuk Bertindak Segera: Tawaran “terhad” dan perlu cepat membuat keputusan.
- Dokumen Palsu: Anda menerima surat kelulusan, resit pembayaran, atau logo Bank Negara Malaysia yang dipalsukan.
- Bayaran ke Akaun Peribadi: Wang diminta dimasukkan ke akaun individu, bukan akaun syarikat rasmi.
Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan Pinjaman
- Mohon pinjaman hanya melalui institusi kewangan atau bank yang berlesen.
- Semak sama ada syarikat tersebut berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
- Guna senarai amaran pengguna kewangan (Financial Consumer Alert List): www.bnm.gov.my/fcal
- Jangan bayar sebarang yuran sebelum menerima pinjaman.
- Elakkan tawaran melalui WhatsApp, Telegram atau media sosial tanpa dokumen rasmi.
- Lakukan penyelidikan: Cari nama syarikat + perkataan “scam” atau semak ulasan.
- Berhati-hati dengan tawaran yang terlalu mudah atau terlalu bagus untuk dipercayai.
Contoh Situasi Penipuan Pinjaman:
Ali, 28 tahun, sedang mencari pinjaman peribadi dengan segera untuk membayar bil pembaikan keretanya. Semasa melayari Facebook, dia terlihat iklan berikut:
“Dapatkan Pinjaman Segera – Tanpa Dokumen! Lulus Dalam 1 Jam!”
Ali menghubungi "ejen pinjaman" tersebut melalui WhatsApp. Ejen itu mendakwa Ali layak menerima pinjaman RM20,000, tetapi perlu membayar RM400 terlebih dahulu sebagai yuran pemprosesan dan insurans. Ejen turut menghantar surat kelulusan palsu yang menggunakan logo seakan-akan dari Bank Simpanan Nasional (BSN). Ali mempercayai ejen itu dan membuat bayaran RM400. Beberapa jam kemudian, ejen meminta bayaran tambahan RM250 untuk "cukai pelepasan", kononnya diperlukan sebelum wang boleh dilepaskan. Ali mula rasa ragu-ragu dan menyemak nombor telefon ejen di laman Semak Mule dan ternyata nombor itu telah dikenalpasti terlibat dengan penipuan. Ejen itu terus tidak dapat dihubungi. Ali tidak menerima pinjaman RM20,000 yang dijanjikan, dan kerugian wangnya.
Kesilapan yang Dilakukan:
- Ali mempercayai janji "kelulusan mudah" tanpa pengesahan.
- Dia membuat bayaran pendahuluan sebelum menerima pinjaman.
- Dia percaya kepada ejen yang tidak berlesen dan hanya berkomunikasi melalui WhatsApp.
- Surat kelulusan yang diterima adalah palsu dan menggunakan logo BSN tiruan.
- Dia tidak menyemak latar belakang ejen sebelum memindahkan wang.
Pengajaran:
- Sentiasa berhati-hati dengan tawaran pinjaman yang kelihatan terlalu mudah atau cepat.
- Jika rasa ragu-ragu, lebih baik berhenti dan buat semakan dahulu.