Apakah Penipuan Pekerjaan?

Skim penipuan di mana penipu menipu individu dengan menawarkan peluang pekerjaan palsu. Tujuannya adalah untuk mencuri wang, mendapatkan maklumat peribadi, atau memperdaya mangsa untuk terlibat dalam aktiviti haram.

Cara Mengenal Pasti Scam pekerjaan (Tanda-Tanda Amaran Biasa)

  1. Tawaran Luar Biasa: Tawaran kerja menjanjikan gaji tinggi, kerja mudah dan tidak memerlukan pengalaman. Jika terlalu sempurna, mungkin ia satu penipuan.
  2. Bayaran Pendahuluan: Anda diminta membuat bayaran untuk latihan, permit kerja, atau proses permohonan sebelum mula bekerja.
  3. Minta Maklumat Peribadi: Penipu meminta maklumat akaun bank atau nombor kad pengenalan untuk “proses permohonan” dan maklumat ini boleh digunakan untuk mencuri identiti anda.
  4. Maklumat Syarikat Tidak Jelas: Iklan kerja tidak menyatakan nama syarikat, alamat, atau nombor telefon yang sah.
  5. Tugasan Mencurigakan: Anda diminta menerima atau memindahkan wang. Ini mungkin sebahagian daripada aktiviti penipuan atau pengubahan wang haram.

Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Scam Pekerjaan

  1. Semak laman web rasmi syarikat dan baca ulasan untuk pastikan ia wujud dan sah.
  2. Jika tawaran terlalu indah untuk dipercayai, ia mungkin penipuan. Sahkan melalui sumber rasmi.
  3. Majikan yang sah tidak akan meminta bayaran untuk latihan, peralatan, atau proses permohonan.
  4. Hanya kongsi maklumat peribadi seperti IC atau akaun bank selepas anda pasti kerja itu benar.
  5. Jika anda tidak pernah memohon kerja tetapi menerima tawaran, berhati-hati kerana mungkin ia satu penipuan.
  6. Syarikat yang sah menggunakan alamat emel rasmi, bukan emel akaun percuma seperti Gmail atau Yahoo.
  7. Jika butiran kerja tidak jelas atau majikan mengelak menjawab soalan anda, itu petanda amaran.

Contoh Situasi Penipuan Pekerjaan:

Siti terlihat iklan kerja di Facebook yang menawarkan RM300 sehari untuk "kerja dari rumah" dengan memproses bayaran dalam talian. Dia memohon dan ditawarkan kerja dengan cepat melalui WhatsApp. “Majikan” itu meminta bayaran RM200 untuk bahan latihan. Selepas bayaran dibuat, individu tersebut tidak lagi memberi maklum balas dan menghilang.

Kesilapan yang Dilakukan:

  1. Siti tidak menyemak kesahihan syarikat tersebut.
  2. Dia membuat bayaran sebelum mula bekerja.
  3. Komunikasi hanya melalui WhatsApp tanpa emel rasmi atau laman web.

Pengajaran:

  • Sentiasa semak kesahihan kerja dan syarikat terlebih dahulu.
  • Jangan mudah percaya tawaran kerja yang meminta bayaran awal atau hanya berkomunikasi melalui WhatsApp tanpa melalui saluran rasmi terlebih dahulu.
  • Pekerjaan yang sah tidak akan meminta bayaran untuk mula bekerja.