Apakah Penipuan Pelaburan?

Skim penipuan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang sangat rendah atau tiada langsung. Skim ini direka untuk memperdaya individu supaya melaburkan wang mereka dalam pelaburan yang tidak wujud atau tidak sah.

Cara Mengenal Pasti Penipuan Pelaburan (Tanda Amaran Biasa)

  1. Indah Khabar dari Rupa: Janji pulangan tinggi dengan risiko yang sangat rendah atau tiada risiko.
  2. Desakan dan Tekanan: Mangsa didesak untuk bertindak cepat sebelum peluang itu “hilang”.
  3. Guna Nama Popular: Menyebut nama tokoh terkenal, selebriti atau syarikat besar untuk kelihatan sah.
  4. Fokus Rekrut Pelabur Baru: Seperti skim Ponzi, anda digalakkan untuk bawa masuk pelabur lain.
  5. Syarikat Tidak Berlesen: Syarikat pelaburan yang beroperasi tanpa kelulusan atau lesen rasmi.
  6. Tawaran Tanpa Diundang: Panggilan atau mesej secara tiba-tiba yang menawarkan peluang "eksklusif”.

Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan Pelaburan

  1. Melabur dengan profesional pelaburan yang berlesen sahaja.
  2. Semak latar belakang: Periksa tawaran pelaburan dan individu yang menawarkannya.
  3. Beli produk pelaburan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjamin pelaburan anda.
  4. Sahkan maklumat melalui laman rasmi berikut:
  5. Jika ragu-ragu, hubungi SC atau BNM untuk pengesahan.

Contoh Situasi Penipuan Pelaburan:

Amir terlihat iklan di Facebook mengenai “pelaburan khas” yang menjanjikan pulangan tinggi 15% sebulan tanpa risiko. Laman Facebook itu kelihatan profesional, dan individu di dalamnya mendakwa dirinya sebagai CEO berjaya. Amir dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp, di mana seorang “penasihat” meminta dia bertindak segera kerana tawaran itu terhad. Amir memindahkan RM5,000 dan menerima RM750 selepas seminggu. Gembira dengan hasil itu, dia melabur lagi RM15,000.Tidak lama kemudian, penasihat itu menghilangkan diri. Laman Facebook juga telah dipadam.

Kesilapan yang Dilakukan:

  1. Amir mempercayai iklan di media sosial yang menawarkan pulangan pelaburan yang tidak masuk akal tanpa sebarang risiko.
  2. Dia tidak menyemak kesahihan syarikat, individu yang mengaku sebagai CEO, atau platform pelaburan tersebut.
  3. Dia mempercayai orang dalam kumpulan WhatsApp yang tidak dikenali secara peribadi.
  4. Dia ditekan untuk membuat keputusan segera tanpa sempat berfikir atau membuat semakan.
  5. Dia memindahkan wang tanpa mengesahkan sama ada pelaburan itu sah atau tidak.

Pengajaran:

  • Berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko, ini selalunya penipuan.
  • Sentiasa semak latar belakang syarikat atau individu sebelum melabur.
  • Elakkan membuat keputusan tergesa-gesa, terutamanya apabila didesak oleh orang yang tidak dikenali dalam talian.
  • Pelaburan yang sah tidak dipromosikan melalui WhatsApp atau laman media sosial palsu.
  • Jika ragu-ragu, semak dengan pihak berkuasa atau penasihat yang dipercayai.