Kontrak/Konsep Produk Perbankan Islam di BSN
BAI` BITHAMAN AJIL (BBA)
Kontrak yang merujuk kepada transaksi jual  beli bagi pembiayaan aset secara tertunda dan ansuran dengan tempoh bayar balik yang dipersetujui terlebih dahulu. Harga jualan adalah termasuk margin keuntungan.
BAI` AL-`INAH
Kontrak jual beli yang disusuli dengan pembelian semula oleh penjual pada harga yang berbeza.
AL-IJARAH THUMMA AL-BAI’
- Al-Ijarah Thumma Al-Bai’ (AITAB), merujuk kepada dua kontrak iaitu Ijarah (sewa) dan Bai’ (jual beli) di mana pelaksanaan dua (2) kontrak tersebut dilaksanakan secara berasingan dan mengikut turutan.
- Di bawah kontrak Ijarah (sewaan), penyewa (pelanggan) menyewa kenderaan daripada pemilik (Bank) pada kadar dan tempoh sewaan yang dipersetujui. Apabila tamat tempoh sewaan, atau mana - mana tempoh penjelasan awal, atau apa-apa kemungkiran (events of defaults), penyewa (pelanggan) memasuki kontrak Bai’ (jual beli) untuk membeli kenderaan tersebut dari pemilik (Bank) pada harga jualan yang dipersetujui. Selain itu, kontrak Wakalah (agensi) turut digunakan, di mana Bank melantik pelanggan sebagai ejen untuk menguruskan penyelenggaraan kenderaan sepanjang tempoh sewaan.
MUDARABAH
- Mudarabah adalah kontrak antara pemilik modal (rabbul mal) dan pengusaha (mudarib) di mana pemilik modal menyediakan modal untuk diuruskan oleh pengusaha.
- Sebarang keuntungan yang terhasil dari modal tersebut dikongsi di antara pemilik modal dan pengusaha mengikut Nisbah Perkongsian Keuntungan (NPK) yang dipersetujui manakala kerugian ditanggung oleh pemilik modal dengan syarat kerugian tersebut tidak berpunca daripada salah laku (ta’addi), kecuaian (taqsir) atau pelanggaran syarat yang ditetapkan (mukhalafah al-shurut) oleh Bank.
MURABAHAH
Murabahah merujuk kepada transaksi penjualan dan pembelian di mana harga kos aset dan margin keuntungan telah diketahui oleh pelanggan dan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat. Pembayaran boleh dibuat secara sekaligus, ansuran, atau berperingkat, seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli tersebut.
MURABAHAH KEPADA PEMESAN PEMBELIAN (MPO)
- Murabahah kepada Pemesan Pembelian (MPO) merupakan kontrak jual beli bagi membiayai asset di mana harga kos aset dan margin keuntungan didedahkan kepada pembeli (pelanggan).
- Di bawah kontrak ini, terdapat pesanan dan akujanji (wa’d) untuk membeli oleh pelanggan sebelum pemerolehan kenderaan oleh Bank. Bank melantik pelanggan sebagai ejen untuk mengenal pasti aset (kenderaan) dan pelanggan berakujanji untuk membeli kenderaan (yang telah dipilih) daripada Bank secara Murabahah. Setelah Bank membeli kenderaan daripada pengedar kenderaan, Bank seterusnya menjual kenderaan tersebut kepada pelanggan. Pelanggan boleh melakukan bayaran secara ansuran berdasarkan tempoh yang dipersetujui.
MUSYARAKAH
Pengaturan perkongsian antara dua pihak atau lebih bagi membiayai usaha niaga dengan sumbangan modal daripada semua pihak sama ada dalam bentuk tunai atau barang. Sebarang keuntungan yang diperoleh daripada usaha niaga itu diagihkan pada nisbah perkongsian keuntungan yang telah dipersetujui terlebih dahulu dan semua kerugian ditanggung bersama mengikut caruman modal.
MUSYARAKAH MUTANAQISAH
Sejenis syarikat/usaha niaga yang melibatkan rakan kongsi (pelanggan) membeli unit saham rakan kongsi lain secara beransur-ansur, sehingga pelanggan akhirnya memiliki sepenuhnya aset/projek tersebut. Konsep ini merupakan konsep hibrid yang terdiri daripada tiga kontrak, iaitu perkongsian, pajakan dan jualan.
MUSAWAMAH
Jenis jualan am dan biasa yang melibatkan tawar-menawar harga komoditi yang diperdagangkan antara penjual dengan pembeli tanpa sebarang rujukan kepada harga dibayar atau kos yang ditanggung oleh penjual. Oleh itu, ia berbeza daripada Murabahah dari segi formula penentuan harga. Tidak seperti Murabahah, penjual dalam kontrak Musawamah tidak perlu mendedahkan kosnya. Kedua-dua pihak berunding untuk mencapai harga yang dipersetujui. Semua syarat lain yang berkaitan dengan Murabahah adalah juga sah bagi Musawamah.
TAWARRUQ
- Tawarruq (Murabahah Komoditi) melibatkan dua kontrak jual beli. Kontrak pertama melibatkan penjualan aset oleh penjual kepada pembeli secara tangguh. Seterusnya, pembeli bagi urusniaga penjualan yang pertama akan menjual aset yang sama kepada pihak ketiga secara tunai dan lani.
- Konsep Tawarruq ini juga melibatkan kontrak Wakalah (Perwakilan) yang menggunakan struktur dwi-wakil seperti berikut (Pembiayaan):
- Bank bertindak sebagai wakil bagi pihak pelanggan untuk menyempurnakan pembelian komoditi daripada Bank secara Murabahah (kos + keuntungan).
- Bank bertindak sebagai wakil untuk menjual komoditi bagi pihak pelanggan kepada pihak ketiga.
- Konsep Tawarruq ini juga melibatkan kontrak Wakalah (Perwakilan) yang menggunakan struktur dwi-wakil seperti berikut (Deposit):
- Pelantikan Bank sebagai wakil pelanggan yang layak untuk membeli komoditi daripada pihak ketiga.
- Pelantikan Bank sebagai wakil pelanggan yang layak untuk menyempurnakan penjualan komoditi secara Murabahah kepada Bank.
TAKAFULÂ
Skim yang bercirikan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu dengan memberikan bantuan kewangan kepada peserta-peserta apabila diperlukan dan semua peserta saling bersetuju untuk menyumbang bagi tujuan tersebut.
ZAKAT
Dalam Islam, zakat ialah cukai yang wajib dibayar oleh setiap orang yang memiliki kekayaan melebihi amaun tertentu pada kadar yang ditetapkan oleh Syariah. Menurut kepercayaan Islam, zakat menyucikan harta dan jiwa. Objektif zakat ialah mengagihkan sebahagian kekayaan yang dimiliki golongan yang berada kepada lapan asnaf zakat seperti yang dinyatakan dalam Quran.
Kontrak Produk Perbankan Islam
BAI` AS-SALAM
Kontrak yang melibatkan bayaran secara tunai ketika kontrak dimeterai tetapi penghantaran aset yang dibeli ditunda ke satu tarikh yang telah dipersetujui terlebih dahulu.
DHAMANÂ
Kontrak jaminan yang penjaminnya menaja jamin sebarang tuntutan dan tanggungan yang mesti ditunaikan oleh pemilik aset. Konsep ini juga boleh digunakan untuk jaminan yang diberikan ke atas transaksi hutang sekiranya penghutang gagal melunaskan tanggungan hutangnya.
HIBAHÂ
Hadiah yang diberikan kepada seseorang.
IJARAHÂ
Kontrak jenis manfaah (usufruk) yang melibatkan pemajakan aset atau kelengkapan oleh pemberi pajak (pemilik) kepada pelanggan pada kadar sewa yang dipersetujui dan tempoh pajakan yang ditetapkan terlebih dahulu semasa berlakunya akad (kontrak). Pemilikan kelengkapan yang dipajak kekal dengan pemberi pajak.
ISTISNA`
Kontrak pesanan belian ke atas aset yang melibatkan pembeli membuat pesanan bagi membeli aset tersebut untuk diserahkan pada masa hadapan. Pembeli menghendaki penjual atau kontraktor membina aset tersebut dan menyerahkannya pada masa hadapan mengikut spesifikasi yang dinyatakan dalam kontrak jual beli. Kedua-dua pihak mempersetujui harga jual beli dan bayaran boleh ditangguhkan atau diatur menurut jadual kerja yang siap.
JU`ALAHÂ
Kontrak ganjaran − Kontrak satu pihak yang menjanjikan ganjaran ke atas sesuatu tugasan atau pencapaian khusus.
KAFALAH
Ia mempunyai makna yang sama dengan dhaman.
MAL
Sesuatu yang mempunyai nilai dan boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan menurut Syariah.
MAISIR
Sebarang aktiviti yang melibatkan pertaruhan dan pemenangnya mengambil taruhan manakala pihak yang kalah hilang taruhan. Menurut Syariah aktiviti ini adalah haram.
QARDH HASAN
Kontrak pinjaman antara dua pihak berasaskan kebajikan sosial atau untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek peminjam. Amaun yang dibayar hendaklah sama dengan amaun yang dipinjamkan. Namun, tidak salah jika peminjam membayar balik lebih daripada amaun yang dipinjam asalkan perkara itu tidak dinyatakan atau dipersetujui ketika kontrak dimeterai.
RAHN
Perbuatan menjadikan sesuatu aset yang bernilai sebagai cagaran kepada pinjaman. Cagaran itu akan digunakan untuk melangsaikan pinjaman sekiranya peminjam mungkir daripada membayar hutangnya.
RIBAÂ
Kenaikan amaun dalam transaksi pinjaman atau dalam pertukaran komoditi, terakru kepada pemilik (pemberi pinjaman) tanpa memberikan pulangan dengan nilai balas yang setara kepada peminjam. Ia merangkumi faedah ke atas pinjaman komersial dan pinjaman pengguna, dan diharamkan oleh Syariah.
SARF
Urus niaga mata wang.
SUKUKÂ
Dokumen atau sijil yang mendokumenkan pemilikan pro rata aset sandaran yang tak dibahagikan. Sak (nama bagi sukuk tunggal) bebas diperdagangkan pada nilai tara, premium atau diskaun.
SHARIAH
Undang-undang Islam, berasal daripada Qur`an, dan amalan serta penjelasannya diterangkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) dan ijtihad ulamak (usaha persendirian oleh sarjana Syariah yang berkelayakan untuk menentukan hukum bagi perkara-perkara yang tidak jelas).
TADLIS AL-`AIBÂ
Merujuk aktiviti penjual yang secara sengaja menyembunyikan kecacatan barangan. Menurut Syariah, aktiviti ini adalah haram.
TANAJUSHÂ
Merujuk konspirasi antara penjual dengan pembeli yang pembelinya sanggup membeli barangan pada harga lebih tinggi. Ia dilakukan untuk mendorong orang lain supaya berebut untuk membeli barangan tersebut pada harga lebih tinggi, menyebabkan penjual mengaut keuntungan yang tinggi. Transaksi ini dilarang oleh Islam.
TA’WIDHÂ
Ta'widh merujuk kepada pampasan yang dikenakan oleh satu pihak untuk menampung kerugian sebenar yang dialami akibat kelewatan pihak yang lain dalam membuat pembayaran bagi obligasi pembiayaan/hutang/keuntungan.
UJRAH
Bayaran wang untuk penggunaan perkhidmatan atau manfaat. Dalam konteks ekonomi masa kini, bayaran tersebut boleh jadi dalam bentuk gaji, upah, elaun, komisen, dll.
`URBUN
Deposit atau wang cengkeram yang dibayar terlebih dahulu dan membentuk sebahagian daripada bayaran untuk harga barangan atau perkhidmatan. Ia terlupus jika transaksi dibatalkan. Wang yang tidak dikembalikan itu  dianggap sebagai hibah (hadiah).
'UQUD AL-MU'AWADAT
Kontrak pertukaran.
'UQUD AL-TABARRUATÂ
Kontrak khairat.
'UQUD AL-ISHTIRAK
Kontrak perkongsian.
WAKALAH
Wakalah ialah suatu kontrak yang mana seseorang pihak sebagai prinsipal (muwakkil) melantik pihak lain sebagai ejen (wakil) untuk melaksanakan tugas tertentu berkaitan perkara yang boleh diwakilkan, sama ada dengan mengenakan fi atau tanpa fi.
WADIAH
Barang atau deposit yang disimpan untuk dijaga dengan selamat oleh orang lain yang bukan tuan punya. Memandangkan wadiah ialah sejenis amanah, depositori menjadi penjamin dan menjamin bayaran untuk seluruh amaun deposit, atau sebahagian daripadanya yang masih belum dijelaskan dalam akaun penyimpan, apabila dituntut.
BAI’
Akad jual beli.
DHA’ WA TA’AJJAL
Mengurangkan sebahagian jumlah hutang apabila penghutang menyelesaikan hutang lebih awal.
IBRA’
Ibra’ bermaksud suatu tindakan oleh seseorang yang melepaskan haknya untuk menuntut pembayaran yang terhutang daripada pihak lain. Dalam konteks perbankan Islam, bank boleh memberikan ibra’ kepada pelanggan yang menerima pembiayaan berasaskan jual beli dan menyelesaikan hutang mereka sebelum tempoh penyelesaian yang dipersetujui tamat, sebagaimana yang diperuntukkan dalam perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua pihak.
GHARAR
Elemen perdayaan sama ada melalui kejahilan mengenai elemen penting barang, harga, atau melalui gambaran tidak betul mengenai barang tersebut, yang boleh menyebabkan satu atau kedua-dua pihak tertipu. Contohnya, berjudi ialah satu bentuk gharar kerana penjudi tidak mengetahui keputusan perjudian itu.
QARD HASAN
Kontrak pinjaman antara dua pihak atas dasar kebajikan social atau untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek peminjam. Jumlah bayaran semula mestilah sama dengan jumlah yang dipinjam. Bagaimanapun, peminjam boleh membayar lebih daripada jumlah yang dipinjam selagi ia tidak dinyatakan atau dipersetujui pada masa kontrak dimeterai.
MUQASAH
Penyelesaian hutang melalui transaksi kontra.
WA’AD
Wa’ad merujuk kepada janji sebelah pihak, iaitu suatu pernyataan komitmen yang diberikan oleh satu pihak kepada pihak yang lain untuk melaksanakan sesuatu tindakan pada masa hadapan.
HAMISH JIDDIYYAH
- Hamish Jiddiyyah merujuk kepada deposit sekuriti yang diletakkan untuk menjamin komitmen membeli sesuatu asset sebelum pelaksanaan jual beli.
- Deposit tersebut boleh digunakan untuk menampung kerugian sebenar yang ditanggung oleh pihak lain sekiranya pelanggan gagal memenuhi wa‘ad atau komitmennya.
PER STATEMENT
Bagi akaun berasaskan Mudharabah, pihak Bank menggunakan kaedah Rizab Penyamaan Keuntungan (RPK)  yang dibenarkan  oleh Syariah sebagai salah satu cara menguruskan risiko untuk mengurangkan pendedahan Bank kepada *Risiko Komersial Teralih (DCR) untuk memastikan pulangan yang sebanding bagi akaun-akaun di bawah konsep Mudharabah.
*DCR merujuk kepada risiko yang timbul daripada aset yang diuruskan bagi pihak pemegang akaun yang mungkin akan ditanggung oleh modal Bank, apabila Bank melepaskan sebahagian atau sepenuhnya peratusan keuntungan Bank ke atas dana pemegang akaun, dan/atau melakukan pemindahan kepada pemegang akaun daripada keuntungan pelaburan dana pemegang saham  akibat kebimbangan komersial dan/atau seliaan dalam usaha untuk menaikkan kadar pulangan kepada pemegang akaun.
Kaedah ini membenarkan Bank memperuntukkan sebahagian pendapatan kasar Bank ke dalam akaun rizab iaitu RPK  sebelum pengagihan kepada pemegang akaun dan Bank dalam bulan di mana keuntungan melebihi jangkaan Bank, dan mengeluarkan dana daripada rizab ini dalam bulan di mana keuntungan adalah kurang daripada jangkaan Bank, bagi mengekalkan kadar keuntungan  yang  konsisten. Amaun yang diperuntukkan ke dalam RPK akan digunakan  hanya untuk tujuan pengurangan DCR.