Apakah Penipuan E-Dagang?
Aktiviti penipuan dalam talian di mana penipu memperdaya pengguna atau perniagaan untuk membuat pembelian, berkongsi maklumat peribadi, atau memindahkan wang bagi barangan atau perkhidmatan yang tidak dihantar atau tidak seperti yang diiklankan.
Cara Mengenal Pasti Penipuan E-Dagang (Tanda Amaran Biasa)
- Harga Terlalu Murah: Barang dijual jauh lebih murah daripada harga pasaran untuk menarik perhatian mangsa.
- Tiada Alamat atau Maklumat Jelas: Penjual mengelak daripada berkongsi maklumat sah seperti alamat atau nombor telefon, hanya guna WhatsApp atau media sosial.
- Tiada Ulasan atau Ulasan Palsu: Tiada maklum balas pelanggan atau hanya ulasan yang terlalu sempurna dan mencurigakan.
- Bayaran ke Akaun Peribadi: Pembayaran dibuat ke akaun individu, bukan melalui platform pembayaran rasmi.
- Desakan untuk Beli Segera: Anda didesak untuk “tempah segera” kerana stok kononnya terhad.
- Kualiti Laman Web yang Rendah: Reka bentuk laman web yang tidak berkualiti, banyak kesalahan ejaan dan tiada maklumat syarikat.
- Barang Tidak Pernah Dihantar: Anda sudah bayar, tetapi barang tidak sampai dan penjual hilang.
Cara Mengelak Dari Menjadi Mangsa Penipuan E-Dagang
- Beli dari platform yang dikenali atau laman e-dagang yang mempunyai polisi perlindungan pembeli.
- Sahkan penjual dengan menyemak ulasan, penilaian, dan maklum balas pelanggan sebelum membeli.
- Waspada dengan harga yang terlalu murah. Jika harga nampak terlalu menarik, mungkin ia satu penipuan.
- Perhatikan tanda-tanda yang mencurigakan seperti laman web tidak berkualiti, tiada maklumat sah dan hanya menggunakan WhatsApp sahaja.
- Jangan kongsi maklumat peribadi seperti butiran perbankan atau OTP melalui mesej/chat.
- Sahkan identiti penjual dengan menggunakan Semak Mule untuk periksa nombor akaun bank, nama syarikat atau nombor telefon.
- Jika ada keraguan, jangan teruskan pembelian. Lebih baik berhati-hati daripada menjadi mangsa penipuan.
Contoh Situasi Penipuan E-Dagang:
Lisa ternampak iklan di Instagram yang menawarkan kasut jenama terkenal dengan harga promosi RM150 jauh lebih murah daripada harga biasa. Laman penjual nampak meyakinkan dengan beberapa gambar dan komen, serta link untuk membuat pesanan terus melalui WhatsApp. Penjual memberitahu tawaran itu akan tamat tidak lama lagi dan meminta Lisa memindahkan wang ke akaun peribadi untuk “menempah harga promosi.” Lisa membuat bayaran dan dijanjikan nombor tracking akan diberi kemudian. Beberapa hari berlalu tetapi tiada kemas kini, tiada nombor tracking. Penjual hilang dan tidak lagi membalas mesej. Lisa tidak pernah menerima kasut yang dijanjikan.
Kesilapan yang Dilakukan:
- Lisa mempercayai iklan di Instagram tanpa menyemak kesahihan penjual.
- Dia didesak untuk membuat keputusan segera kerana promosi “masa terhad”.
- Dia memindahkan wang terus ke akaun bank peribadi. Perniagaan yang sah biasanya menggunakan saluran pembayaran rasmi, bukan akaun peribadi.
- Dia tidak menyemak latar belakang penjual atau nombor akaun sebelum membuat bayaran.
Pengajaran:
- Sentiasa semak latar belakang penjual sebelum membuat pembelian dalam talian, terutamanya jika harga terlalu murah untuk dipercayai.
- Elakkan membuat bayaran ke akaun bank peribadi.
- Gunakan platform pembayaran yang selamat dan semak nombor akaun yang mencurigakan di Semak Mule terlebih dahulu.
- Berhati-hati dengan iklan yang mendesak anda untuk bertindak segera kerana penipuan selalunya bergantung kepada rasa panik dan emosi untuk memperdaya mangsa.