BSN mendukung mandat yang diamanahkan dalam memastikan keterangkuman kewangan meliputi seluruh rakyat Malaysia dengan menyediakan asas perkhidmatan perbankan yang menyeluruh kepada komuniti yang mempunyai akses terhad. Komitmen ini dilaksanakan bagi memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, mempunyai akses kepada masa depan kewangan yang lebih terjamin.

Program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi komuniti Orang Asli yang bertempat di Kuala Woh, Tapah, Perak pada 3 Februari lalu juga merupakan antara daripada inisiatif BSN untuk terus memperkasakan keterangkuman kewangan sekali gus menyediakan akses perbankan yang menyeluruh kepada komuniti yang memerlukan, dalam usaha untuk memastikan Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan. Program tersebut turut dihadiri oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Eksekutif BSN, Encik Jay Khairil dan wakil daripada agensi kerajaan yang lain.

Menerusi inisiatif ini, BSN telah berjaya memudahkan proses penunaian STR dengan menyediakan Cawangan Bank Bergerak (CBB) bagi menyediakan perkhidmatan perbankan untuk komuniti setempat. Sejumlah penerima yang layak yang terdiri daripada komuniti Orang Asli telah hadir untuk proses penunaian tersebut.

Kewujudan CBB untuk memudahkan proses perbankan menunjukkan kesungguhan BSN dalam merapatkan jurang perkhidmatan kewangan demi menyokong komuniti yang terpinggir seperti Orang Asli. Melalui kerjasama berterusan dengan agensi kerajaan dan inovasi seperti CBB, BSN terus berusaha untuk menyokong kerajaan bagi mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih inklusif.