A journey of a thousand miles begins with a single step” – Di BSN, kami amat menggalakkan budaya gaya hidup yang sihat dengan menyuntik semangat kesukanan dalam aktiviti dijalankan – memupuk kerjasama berpasukan, kesejahteraan, dan keterlibatan.

Sempena ulang tahun ke-50 BSN dan PETRONAS tahun ini, kami berbangga dapat bekerjasama dengan PETRONITA, persatuan isteri dan kakitangan wanita PETRONAS, dalam menganjurkan Orchid Run & Ride 2024. Kolaborasi ini merupakan komitmen kami dalam memperkasa dan mempromosikan kepimpinan wanita, serta menyokong pembangunan komuniti di Malaysia melalui aktiviti sukan.

Orchid Run & Ride 2024 telah berlangsung pada 20 Oktober 2024, dan bermula dari Plaza Persiaran KLCC ke sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur telah menerima penyertaan seramai lebih 8,000 peserta yang rata-ratanya merupakan penggemar sukan larian, individu berkeluarga, serta wakil organisasi korporat. Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke 50 Petronas, acara ini turut menawarkan pelbagai kategori larian dan acara berbasikal sebagai simbolik terhadap sambutan jubli emas PETRONAS.

Encik Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN, dan Encik Izham Ab Wahab, Ketua Pegawai Modal Insan BSN bersama pihak pengurusan kanan BSN yang lain turut diberi penghormatan untuk flag-off peserta larian bagi kategori 5KM dan 12KM. Turut hadir bersama pada acara tersebut adalah YM Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, dan Puan Sri Jemilia Md Jelas, Presiden YDP PETRONITA. Sebagai rakan platinum Orchid Run & Ride 2024, BSN juga berkesempatan meraikan pengunjung yang hadir dengan mengadakan cabutan bertuah istimewa dengan menghadiahkan Sijil Simpanan Premium BSN bernilai sehingga RM10,000.

BSN turut berbesar hati dapat menyediakan perkarangan Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (KOBANAS) sebagai ruang untuk orang ramai menikmati pelbagai makanan yang dijual menerusi trak makanan serta reruai yang diusahakan oleh usahawan mikro BSN. Melalui kerjasama ini, kami dapat menyantuni lebih ramai rakyat Malaysia dan berkongsi tentang penawaran produk kami di samping dapat bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-50 BSN.

Misi bersama untuk memperkukuh dan memajukan pembangunan komuniti telah mengeratkan lagi hubungan yang terjalin antara BSN dan PETRONAS tatkala kami menyambut perjalanan 50 tahun yang luar biasa, penuh dengan kemajuan, demi membina Malaysia yang lebih baik.