Bersempena sambutan ulang tahun yang ke-50, BSN dengan bangganya telah bekerjasama dalam program BSN x Keretapi Sarong, yang dianjurkan oleh Locco. Penglibatan BSN dalam program ini adalah termasuk pengambilalihan stesen LRT Gombak, di mana beberapa aktiviti telah diadakan khusus untuk membangkitkan semangat patriotisma selaras dengan sambutan Hari Malaysia. Tema Bangga Malaysia yang diangkat pada program berkenaan turut senada dengan misi BSN iaitu untuk memastikan Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan. Ini dapat dilihat menerusi pelbagai persembahan yang menjulang budaya tempatan telah dipersembahkan, termasuk Dikir Barat, Kompang, dan Silat.

Program yang meraikan perpaduan sesama masyarakat ini juga turut menampilkan penyanyi terkenal tanah air, Hael Husaini, yang mendendangkan beberapa buah lagu khas untuk para pengunjung yang hadir di samping berjaya merancakkan lagi suasana program. Tidak kurangnya, persembahan daripada kumpulan buskers The Goodfellaz yang memeriahkan program dengan persembahan di stesen dan di dalam kereta api.

Bukan itu sahaja, tiga pengunjung bertuah telah berjaya membawa pulang Apple Watch dengan hanya menjawab kuiz yang disediakan, sekali gus menggamatkan suasana sepanjang program berlangsung.

Istimewanya Keretapi Sarong ini adalah kebersamaan yang diraikan dengan menggabungkan tradisional dan moden, serta keterujaan sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang tidak diketahui mengikut tradisi Keretapi Sarong sejak diwujudkan. Sepanjang 50 tahun ini, BSN telah dengan penuh komited mempromosikan amalan menyimpan dan keterangkuman kewangan. Program ini, secara tidak langsung menyediakan peluang unik kepada BSN untuk berhubung dengan golongan muda, merapatkan jurang antara warisan yang kaya dengan sejarah dan masa hadapan yang lebih meyakinkan. 

Komitmen kami dalam menggabungkan elemen tradisional dan kemodenan dipamerkan melalui evolusi Kebaya Ikonik BSN, yang diperagakan oleh 30 Skuad Sarong BSN kami dari cawangan BSN terpilih. Perjalanan telah dimulakan dengan Baju Kebaya klasik, yang menampilkan warna biru laut dan motif batik bunga raya, melambangkan identiti BSN. Kebaya yang diperbaharui diwarnai dengan warna-warna yang mewakili pertumbuhan BSN—oren untuk cawangan konvensional dan ungu untuk cawangan Islamik BSN. Terbaharu, sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula BSN, kami melancarkan Baju Kebaya dengan elemen bunga raya dan warna teal yang kini disarung oleh teller kami di seluruh negara. Evolusi kebaya BSN diraikan dengan pertunjukan peragaan di destinasi akhir acara bertempat di Lanai @ MATIC, mewakili 50 tahun BSN yang penuh dengan sejarah di samping melambangkan komitmen berterusan Bank dalam menawarkan perkhidmatan terhadap seluruh lapisan masyarakat.