Bak kata pepatah, setiap permulaan pasti ada pengakhirannya.
Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 BSN yang berlangsung pada 29 November 2024 merupakan kemuncak bagi sambutan jubli emas BSN sepanjang tahun ini. Kehadiran Warga BSN, pihak berkepentingan serta rakan-rakan strategik dan rakan-rakan media dari seluruh Malaysia telah memeriahkan lagi majlis pada malam tersebut sekali gus mengukuhkan lagi hubungan yang terjalin selama ini. Sebuah lagu Istimewa, ‘’BSN Untuk Semua’’ yang digubah khas buat Warga BSN, telah pertama kalinya dibawakan secara langsung oleh Fariszuan Irwan Ariff selaku Juara Bintang Kewangan 2024 dari BSN Negeri Sembilan diiringi pasukan koir El Coro Junior.
Majlis yang diadakan di MITEC itu juga turut diwarnai dengan kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pada malam tersebut juga, YAB TPM turut melancarkan Buku Kelestarian BSN yang julung kali diterbitkan, bersama Datuk Seri Dr. Awang Adek, Pengerusi BSN, dan Encik Jay Khairil, Ketua Eksekutif BSN. Pelancaran itu menandakan komitmen BSN untuk mencipta masa depan yang lebih lestari.
Warga BSN yang hadir juga telah memperagakan pelbagai busana batik tradisional pada malam itu. Pelbagai aktiviti telah dijalankan pada malam tersebut bagi meraikan Warga BSN yang selama ini komited mencurahkan khidmat mereka dalam usaha menjadikan BSN terus relevan sepanjang lima dekad ini. Tidak kurang juga, persembahan artis-artis jemputan yang telah merancakkan lagi sambutan ulang tahun ke-50 pada malam tersebut. Penyanyi terkenal seperti Khai Bahar memikat para tetamu dengan nyanyian penuh jiwa menerusi lagu “Tiara’’ dan ‘’Bukan Ku Tak Sudi’’. Mengimbau nostalgia, Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai ‘’Kak Gee’’, juga telah mendendangkan lagu-lagu beliau seperti ‘’Tua Mengejar Kita’’, ‘’Teratai Layu Ditasik Madu,’’ dan ‘’Dia’’. Persembahan daripada pelbagai generasi itu turut menggambarkan semangat BSN yang inklusif, selaras dengan tema sambutan ulang tahun BSN yang ke-50, ‘’Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi’’. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan adalah cabutan rezeki yang menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti BSN SSP bernilai RM8,000, gajet terkini dan gold coins.
BSN telah meraikan sambutan ulang tahun ke-50 dengan kerjasama strategik bersama beberapa organisasi serta pelancaran pelbagai insiatif komuniti,yang telah membawa impak positif dan perubahan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Selama lima dekad, BSN kekal tekad dalam komitmennya kepada golongan yang kurang diberi perkhidmatan selaras dengan visi ‘’Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’’. Sokongan dan kepercayaan semua pihak yang selama ini bersama BSN dalam mensejahterakan kehidupan rakyat Malaysia di samping memperkasa dan memacu pertumbuhan ekonomi negara amat kami hargai.
Terima Kasih semua!
Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi