PERSEDIAAN MENTAL DAN EMOSI

Objektif :
Memberi kefahaman tentang perubahan yang berlaku kepada ibu yang hamil sama ada dari segi emosi, mental dan fizikal.

Aktiviti :
1. Memahami Psikologi Perubahan Fizikal Serta Emosi Isteri Yang Hamil.
Isteri yang hamil dan suaminya perlu memahami perubahan-perubahan tersebut adalah ketentuan dan kurniaan dari Allah Taala.
Firman Allah Taala dalam surah Luqman ayat 14 :
Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.

2. Elakkan Isteri Yang Hamil Dari Tertekan Emosi.
Suami hendaklah memainkan peranan dalam usaha mengurangkan tekanan emosi yang sedang dihadapi oleh isteri dengan cara menunjukkan kasih sayang yang sejati dan sentiasa berada disisinya di waktu lapang serta sentiasa menunjukkan sikap mengambil tahu dan prihatin kepadanya.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : “Jangan memperkecilkan (meremehkan) perbuatan kabaikan sedikitpun walau sekadar menyambut kawan dengan muka yang manis”.
Riwayat Muslim

3. Memberi Motivasi Diri.
Suami hendaklah memberi perangsang dan dorongan ke atas isterinya supaya bersabar di atas segala dugaan ketika sedang hamil.

4. Menerangkan Kelebihan Dan Keistimewaan Isteri Yang Hamil.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : “Setiap wanita di antara kamu yang melahirkan tiga orang anak, mereka akan menjadi hijab baginya api neraka. Seorang wanita di antara mereka menyahut; Bagaimana kalau dua orang anak? Baginda menjawab: Dua orang anak pun demikian juga”.
Muttafaqun A’laih