SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BANK SIMPANAN DI MALAYSIA
Perkhidmatan Bank Simpanan di Malaysia bermula pada akhir kurun yang ke 19. Bank-bank yang
pertama sekali iaitu Bank Simpanan Negeri Perak ditubuhkan dalam tahun 1888 dan Bank Simpanan
Negeri Selangor ditubuhkan dalam tahun 1893 telah ditadbirkan oleh Perbendaharaan negeri-negeri
yang berkenaan sehingga bank-bank itu diambil alih oleh Jabatan Pos. Dalam tahun 1907 Bank Simpanan
Negeri Perak dan Selangor dimansuhkan dan diletak di bawah Bank Simpanan Pejabat Pos Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu yang juga memberi perkhidmatan di Negeri Sembilan dan Pahang.
Pada ketika itu ia mempunyai 3,320 orang penyimpan dengan jumlah wang hanya lebih kurang
RM340,000 dalam kredit mereka.
Perkhidmatan Bank Simpanan yang berasingan di bawah Bank Simpanan Pejabat Pos Negeri-Negeri Selat
juga telah wujud di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pada tahun 1902, manakala Negeri-Negeri Melayu
Tidak Bersekutu telah pun mempunyai Bank Simpanan Pejabat Pos masing-masing beberapa tahun sebelum
Perang Dunia yang Kedua.
Semenjak tahun 1949 wang simpanan dalam Bank Simpanan Pejabat Pos telah semakin bertambah.
Dalam tahun itu ianya mempunyai 229,652 orang penyimpan dengan jumlah kredit sebanyak RM47.2 juta.
Pada masa pelancarannya 5 Disember 1974, Bank Simpanan Nasional Malaysia mempunyai lebih daripada 2.5
juta orang penyimpan.
Jumlah wang yang terkumpul dalam bank ini adalah melebihi RM537 juta.
Dari jumlah ini lebih dari RM526 juta telah dilaburkan dalam sekuriti-sekuriti kerajaan.
Jumlah dalam kredit penyimpan-penyimpan ialah melebihi RM511 juta. Pada akhir tahun 1981,
Bank ini mempunyai 4.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak lebih RM1.2 bilion.
Dengan tertubuhnya Bank Simpanan Nasional, satu babak baru telah tercipta dalam sejarah institusi
simpanan wang di Negara ini. Akta Bank Simpanan Nasional 1974 memperuntukkan pemindahan kuasa pengurusan
dari Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Lembaga Pengarah yang mengambil alih tugas-tugas dan
tanggungjawab mengenai perjalanan bank ini mengikut tujuan Akta tersebut.
KEMAJUAN
Dalam tahun pertama urusannya semenjak menjalankan fungsi-fungsi Bank Simpanan Pejabat Pos pada
1 Disember 1974. Bank Simpanan Nasional telah menumpukan usaha-usahanya kepada penyusunan
semula dan penyelarasan organisasi serta memudahkan peraturan-peraturan supaya dapat
menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada penyimpan-penyimpannya di setiap
pelosok Negara.
Bagi mencapai tujuan ini Bank ini telah membahagikan kuasa pentadbiran dan
kawalan ke atas kegiatannya dengan menubuhkan pejabat-pejabat cawangan sendiri di bandar-bandar
besar di seluruh Negara. Di kawasan yang tidak memerlukan pejabat cawangan, pejabat-pejabat
pos dan pos bergerak dengan kemudahan bank simpanan terus digunakan untuk menggerakkan
tabungan.
Dalam pada itu, kempen publisiti yang giat untuk menyemaikan tabiat berjimat-cermat
dan suka menyimpan wang di kalangan orang ramai telah dijalankan pada peringkat nasional.
Bahagian Perhubungan dan Pemasaran Bank ini telah ditubuhkan untuk mengatur lawatan-lawatan
ke sekolah-sekolah, pusat-pusat perniagaan dan balai-balai raya untuk menerangkan
kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh bank ini dan untuk menarik lebih ramai penyimpan.
Bank ini terus memberi khidmat kepada penyimpan-penyimpannya melalui 526 pejabat pos,
termasuk 135 unit pos bergerak yang bertindak sebagai ejen-ejen kepada Bank.
Tabungan bersih dengan bank ini dalam tahun 1975 bertambah sebanyak 6.2 peratus atau RM32.5 juta.
Dalam tahun 1976, Bank ini telah menambah tiga buah lagi unit bergerak menjadikan bilangan
unit bergerak kepada lima. Unit-unit ini bersama-sama dengan rangkaian pejabat pos sebagai
agen-agen Bank, telah membolehkan Bank Simpanan Nasional menyediakan perkhidmatan yang lebih
luas kepada para penyimpannya terutamanya yang dari luar Bandar.
PETIKAN UCAPAN PELANCARAN
Oleh Allahyarham YAB Tun Haji Abd. Razak Bin Husein, Perdana Menteri Kedua Malaysia.
"Bank Simpanan Nasional merupakan satu bentuk baru dalam usaha kita memupuk perasaan bercermat
dengan tujuan supaya orang ramai digalakkan menyimpan wang pendapatan mereka. Ianya akan
mengekalkan ciri-ciri yang terbaik dan Bank Simpanan Pejabat Pos di samping membawa beberapa
pembaharuan sesuai dengan keadaan masa kini.
Saya berharap dengan pelancaran Bank Simpanan Nasional hari ini, ia akan berkembang sebagai
sebuah institusi simpanan yang utama dan akan meluaskan kempen simpanan oleh Kerajaan iaitu
sebagai langkah anti-inflasi dan juga mempercepatkan pembangunan Negara. Oleh yang demikian
Bank Simpanan Nasional mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan rakyat dan
kemajuan Negara."
Dewan Tunku Abdul Rahman
Kuala Lumpur
5 Disember 1974
OBJEKTIF BSN
Objektif utama Bank ialah:
i.
Untuk memaju dan menggembleng simpanan khususnya dari penyimpan-penyimpan
kecil dan untuk menggalakkan tabiat berjimat cermat dan menyimpan wang;
ii.
Untuk mengadakan saluran bagi orang awam amnya menyimpan wang;
iii.
Untuk menggunakan wang Bank itu bagi pelaburan termasuk membiayai
pembangunan ekonomi Negara;
iv.
Untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab Bank Simpanan Pejabat Pos dan
v.
Memajukan kepentingan-kepentingan pendeposit dan lain-lain pelanggannya.
LAGENDA LOGO BSN
Simbol 'pohon pitis' yang merupakan tema logo Bank ini adalah merupakan pokok pitis yang
diukir dari timah sebanyak 13 keping seperti yang dikeluarkan semasa pemerintahan Sultan
Muhammad Ke-IV di Negeri Kelantan dalam tahun 1903, ketika Negeri itu masih lagi di bawah
takluk Negeri Siam. Pada duit syiling itu tertulis "THURIBA FI ZUL-HIJJAH SANAT 1321",
iaitu diperbuat dalam bulan Zulhijah tahun Masihi 1903. Di sebalik duit syiling itu pula
tertulis "BELANJAAN KERAJAAN KELANTAN", iaitu bererti Mata wang Kerajaan Kelantan.
Perkataan 'pitis' bererti 'wang' mengikut loghat Kelantan dan ia merupakan salah satu
pecahan mata wang yang digunakan di Kelantan sehingga tahun 1920.
KEISTIMEWAAN LOGO BSN
Duit syiling melambangkan simpanan wang dan pokok pada logo melambangkan bahawa simpanan dalam
Bank Simpanan Nasional senantiasa berkembang. Duit-duit syiling telah dipilih untuk
melambangkan simpanan untuk menunjukkan bahawa Bank Simpanan Nasional adalah merupakan
sebuah Bank yang dipunyai oleh rakyat dan bahawa walau bagaimana kecil sekali pun simpanan
dibuat, ia tetap diterima. Keistimewaan logo ialah matlamatnya hendak menggalakkan jimat
cermat dan menyemaikan tabiat suka menyimpan wang, serta hakikat kedudukan Bank ini sebagai
Bank untuk penyimpan-penyimpan kecil dan juga penyimpan-penyimpan besar. 13 keping duit
syiling dalam Malaysia serta membawa pengertian perkhidmatan ke seluruh Negara.
Bank Simpanan Nasional, Wisma BSN, 117, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 603-2162 3222
Paparan terbaik adalah dengan menggunakan resolusi 1152 x 864 pixels dan menggunakan Internet Explorer 6 ke atas
Pernyataan Penafian
Dengan mengakses laman web ini, ia merupakan pengakuan & persetujuan bahawa anda terikat kepada Terma & Syarat bsn.com.my