Kami di Bank Simpanan Nasional (BSN) sentiasa mengamalkan tahap etika yang tinggi dalam menjalankan urusan perniagaan berpandukan Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi BSN. Berdasarkan Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi tersebut, BSN tidak akan menjalankan urusan perniagaan yang boleh dianggap sebagai mendedahkan reputasinya kepada risiko. Secara tambahan, BSN turut mengamalkan sikap toleransi sifar terhadap sebarang urusan yang tidak beretika dan berunsur salah laku. Pada masa yang sama, BSN juga sentiasa berusaha untuk tidak menjejaskan reputasi rakan perniagaannya.
Justeru itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk menggariskan peruntukan asas yang terkandung di dalam Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi BSN yang kami anggap sebagai penting untuk mengekalkan hubungan perniagaan yang efektif berdasarkan prinsip saling mempercayai dan menghormati di antara satu sama lain.
Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi tersebut yang digunapakai oleh BSN di seluruh negara memberi penerangan mengenai beberapa senario perniagaan di mana kami mempunyai jangkaan yang jelas mengenai perilaku kakitangan BSN dan bagaimana situasi percanggahan kepentingan yang mungkin timbul akan ditangani.
Berikut adalah beberapa situasi sepertimana yang disebut di atas:
1.
Pemberian Hadiah
BSN sedia maklum kepentingan untuk mengekalkan hubungan yang baik dengan semua rakan perniagaan kami. Oleh sebab itu, terdapat situasi yang pihak kami anggap sebagai sesuai untuk membolehkan pemberian hadiah sebagai tanda penghargaan kepada rakan perniagaan yang dihormati. Namun, Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi BSN yang dibaca bersama-sama dengan Seksyen 118 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 memperuntukkan bahawa kakitangan BSN adalah dihalang secara langsung atau tidak langsung, meminta, menerima, mengizinkan atau bersetuju untuk menerima apa-apa hadiah, komisen, emolumen, ganjaran, wang, harta, cenderamata atau benda yang nilainya melebihi RM100 semasa menjalankan urusan atau perniagaan yang berkaitan atau melibatkan BSN. Sekiranya perkara ini berlaku, kakitangan tersebut perlu memaklumkan serta mengisytiharkan penerimaan hadiah tersebut kepada Bahagian Undang-Undang dan Pematuhan BSN.
2.
Hiburan / Acara
Kami percaya hubungan secara tidak rasmi adalah tidak kurang pentingnya bagi membina dan mengeratkan hubungan perniagaan. Namun kami juga berpendapat bahawa jemputan untuk menghadiri majlis-majlis hiburan atau acara yang diadakan secara besar-besaran bukan merupakan satu keperluan perniagaan atau sesuatu yang membantu kedua-dua belah pihak menjalinkan hubungan perniagaan yang berjaya, sihat dan menguntungkan. Sekiranya terdapat sebarang jemputan seperti ini, kerjasama pihak diminta untuk memberikan penjelasan mengenai hubung kait acara atau majlis berkenaan dan jemputan rasmi tersebut harus dialamatkan ke Pejabat Ketua Eksekutif BSN atau pihak pengurusan tertinggi BSN bagi membolehkan pihak kami memastikan wakil yang sesuai menghadiri majlis tersebut.
3.
Keahlian Lembaga Pengarah
Kami mempunyai panduan undang-undang yang ketat yang perlu dipatuhi oleh semua kakitangan berhubung keahlian di dalam lembaga pengarah mana-mana syarikat atau organisasi yang berorientasikan keuntungan. Peraturan tersebut adalah bertujuan bagi melindungi organisasi dan seluruh kakitangan daripada percanggahan kepentingan yang mungkin timbul di masa hadapan serta memastikan prinsip kesaksamaan kami tidak terjejas.
4.
Jemputan ‘Lawatan Sambil Belajar’ Ke Luar Negara
Sebarang jemputan bagi mengadakan lawatan sambil belajar di luar negara perlulah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari Pejabat Ketua Eksekutif BSN. Kakitangan adalah ditegah untuk memberikan sebarang komitmen atau jawapan secara nyata atau zahir sama ada secara formal atau tidak bagi pihak BSN tanpa pengesahan wajar dari pihak atasan selaras dengan prosedur dan dokumentasi yang diluluskan.
5.
Lain-lain Faedah
Lain-lain faedah yang diterima selain dari perkara-perkara yang telah disenaraikan di dalam butiran 1 hingga 4 di atas hendaklah dirujuk kepada Pejabat Ketua Eksekutif untuk semakan lanjut dan kelulusan.
Sebarang aduan atau maklumat mengenai pelanggaran undang-undang dan Kod Amalan Kerja dan Etika Organisasi BSN boleh dimaklumkan secara terus kepada Pejabat Timbalan Ketua Eksekutif BSN di alamat Tingkat 20, Wisma BSN, No. 117, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-21623222.
Kami prihatin dan menghargai segala usaha dan sokongan yang disumbangkan oleh rakan perniagaan terhadap kejayaan Bank kami. BSN percaya hubungan erat sesama rakan perniagaan boleh bertahan lama sekiranya ia dibina di atas dasar saling mempercayai dan hormat-menghormati diantara satu sama lain. Kami berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan dan semoga persahabatan ini juga merupakan satu perkongsian yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Bank Simpanan Nasional, Wisma BSN, 117, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 603-2162 3222
Paparan terbaik adalah dengan menggunakan resolusi 1152 x 864 pixels dan menggunakan Internet Explorer 6 ke atas
Pernyataan Penafian
Dengan mengakses laman web ini, ia merupakan pengakuan & persetujuan bahawa anda terikat kepada Terma & Syarat bsn.com.my