|
Kuala Lumpur, 28 Januari 2010 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah melancarkan Sistem Penjelasan Cek ataupun yang dikenali sebagai eSPICK sebagai satu inisiatif bagi menyediakan satu lagi kemudahan kepada pelanggan-pelanggan dan orang ramai. Majlis dihadiri oleh Puan Norazian Ahmad Tajuddin, Timbalan Ketua Eksekutif BSN (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan) dan Encik KC Wong, Pengarah Urusan Insite MY Systems Sdn Bhd, penyedia perisian kewangan bagi sistem tersebut.
Pada majlis tersebut Puan Norazian Ahmad Tajuddin, Timbalan Ketua Eksekutif BSN, (Perbankan Konsumer & Pembangunan Perniagaan) berkata, “BSN sentiasa mementingkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada Pelanggan-pelanggannya dan orang ramai. Pelaksanaan sistem ini akan menyaksikan lebih banyak cek yang bakal diproses oleh BSN dalam jangka masa yang lebih singkat”.
Sementara itu, Pengarah Urusan Insite MY Systems Sdn Bhd, En. KC Wong pula berkata, “Kami amat berbangga kerana dapat menjayakan projek BSN yang sangat berprestij ini dan dapat memperkenalkan produk kami, INCHEQS Cheque Clearing System. Projek ini telah selamat dilaksanakan pada 4hb Sept 2009 dan berjaya dilaksanakan lebih awal dari pelan jangkaan walaupun ia melibatkan sebanyak 378 cawangan BSN di seluruh Malaysia”.
“BSN merupakan salah satu dari 10 pelanggan perbankan kami yang mengunapakai sistem INCHEQS di Malaysia. INCHEQS adalah sistem penjelasan cek yang sangat lengkap dan tepat”.
Menurut beliau, “InsiteMY sentiasa bekerja keras di dalam membangunkan sistem dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggannya. Selain dari 10 bank di Malaysia, INCHEQS kini juga digunapakai oleh empat bank di Bangladesh. Dengan ini, InsiteMY telah berjaya mengembangkan status perniagaannya ke peringkat antarabangsa dan negara-negara yang bakal di pelopori oleh InsiteMY seterusnya adalah Thailand dan Filipina”.
Pembangunan sistem ini merupakan salah satu lagi inisiatif BSN untuk menyediakan prasarana dan akses perkhidmatan perbankan kepada pelanggan-pelanggannya dan orang ramai. Sistem ini, yang masih kekal sebagai sistem pembayaran runcit yang terbesar di Malaysia dikenalpasti dapat meminimumkan tempoh pemprosesan cek di BSN.
Sistem ini juga dikenalpasti akan memendekkan masa pemprosesan cek di BSN. Bagi memastikan kemudahan ini disalurkan kepada segenap lapisan masyarakat, BSN akan memasang sistem ini di hamper kesemua rangkaian cawangannya di seluruh Malaysia. Sistem ini ternyata amat efektif dan dijangka dapat menarik minat pelanggan dan menyumbang kepada peningkatan jumlah urusniaga yang menggunakan cek di BSN.
Di majlis yang sama, acara menandatangani plak telah diadakan oleh kedua-dua pihak sebagai simbolik bagi penyerahan dan perasmian sistem eSPICK tersebut. Selaras denga mandatnya sebagai sebuah Bank Komuniti, BSN komited untuk terus menyediakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan untuk keutamaan dan kepentingan Pelanggan-pelanggannya dan orang ramai.
|