|
Kuala Lumpur, 25 Februari 2009 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini melancarkan semula cawangan yang telah dinaik taraf dan dipindah dari Bandar Tun Razak ke Bandar Sri Permaisuri. Dirasmikan oleh Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN, Adinan Maning, penempatan baru cawangan ini merupakan satu lagi usaha BSN ke arah menyediakan akses dan saluran pembiayaan serta kemudahan perbankan untuk pelanggannya dan orang ramai.
Penempatan cawangan Bandar Tun Razak ke lokasi baru (Bandar Sri Permaisuri) adalah juga merupakan komitmen BSN untuk memberi keselesaan kepada pelanggan di dalam membuat urusan perbankan mereka. Mula beroperasi pada 16 Februari 1987, BSN mendapati bahawa pemindahan ini adalah strategik di samping memenuhi permintaan pelanggan dan menarik lebih ramai penduduk-penduduk di sekitar Bandar Tun Razak dan Bandar Permaisuri untuk terus menggunakan BSN sebagai institusi pilihan perbankan mereka. Cawangan ini telah mula beroperasi di lokasi baru di alamat No. 73G, Tingkat Bawah dan Satu, Dataran Dwi Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada 22 Disember 2008 yang lalu.
Adinan Maning, Ketua Pegawai Eksekutif BSN ketika dihubungi berkata “ BSN sedang giat menjalankan usaha-usaha menaiktaraf rangkaian cawangannya di seluruh negara. Ini adalah bertujuan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dan menjamin keselesaan pelanggan di dalam membuat urusan perbankan mereka.” Tambah Adinan lagi, “Pemilihan lokasi cawangan-cawangan baru BSN juga adalah berdasarkan lokasi dan persekitaran yang memberi kemudahan kepada pelanggan di samping nilai komersial sesebuah lokasi tersebut dan kawasan tumpuan perniagaan yang disekelilingi oleh struktur pertumbuhan ekonomi dan populasi yang pesat”.
Walaupun cawangan di Bandar Tun Razak telah ditempatkan ke kawasan yang baru, BSN telah menempatkan Mesin ATM di Pusat Komuniti Bandar Tun Razak untuk kemudahan urusan perbankan komuniti setempat. Di samping itu, di antara ciri-ciri baru yang diperkenalkan di cawangan Bandar Sri Permaisuri adalah ‘Automated Banking Lobby’, sebuah konsep yang mesra pelanggan dan menempatkan mesin ATM dan Mesin Deposit Tunai. Cawangan ini akan turut menempatkan Unit Kredit yang serba lengkap (full fledged credit unit) dan mempunyai 4 kaunter untuk urusan perbankan.
Lokasi ini merupakan kawasan perbandaran baru dan pusat perniagaan komersil yang sedang berkembang pesat. Ia telah dikenalpasti untuk meningkatkan pertambahan bilangan pelanggan yang sedia ada di mana fokus utama akan diberikan kepada sektor-sektor perkhidmatan awam dan swasta. BSN percaya kewujudan cawangan ini adalah relevan dan bertepatan dengan pembangunan perniagaan yang pesat di kawasan ini.
- TAMAT -
Maklumat mengenai Bank Simpanan Nasional (BSN)
BSN merupakan sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan pada 1 Disember, 1974. Semenjak penubuhannya, semua tugas dan tanggungjawab di bawah Akta Bank Simpanan Pejabat POS telah diambil alih oleh BSN. Misi BSN ialah untuk menggalakkan tabungan, pelaburan dan pengurusan kewangan yang bijak di kalangan rakyat Malaysia sejajar untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka. Kini BSN mempunyai hampir 5,000 orang kakitangan, 375 cawangan, 674 mesin teller automatik (ATM) dan 51 mesin deposit tunai (CDM) di seluruh negara. BSN mempunyai lebih 7 juta pelanggan di seluruh Malaysia dengan simpanan berjumlah RM 10.8 billion.
Bank ini telah melaksanakan inisiatif utama melalui proses transformasi dan perubahan baru bagi memastikan ia terus wujud berdaya saing dan mempunyai nilai yang kukuh hingga tahun-tahun yang akan datang. BSN akan terus mempertingkatkan perkhidmatan serta memperkembangkan produk-produk perbankan untuk kemudahan pelanggan. Produk-produk teras BSN termasuklah Pinjaman Persendirian, Pinjaman Perumahan, Pinjaman Mikro Kewangan, Sijil Simpanan Premium, Skim Perbankan Islam, Akaun Simpanan GIRO, Kad Debit BSNMatrix dan BSN Matrix-i dengan kemudahan MEPS, Kad Kredit VISA dan Mastercard. Untuk maklumat lanjut mengenai BSN, layari laman web www.bsn.com.my.
Untuk sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hubungi:
Emilia Azyyati Abdul Rahman
Pengurus
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Bank Simpanan Nasional
Tel : 03-2162 3222 samb. 6001
Faks : 03-2162 6623
Emel : emilia@bsn.com.my
Arida Ariffin
Pegawai Bank Kanan
Bahagian Hal Ehwal Korporat
Bank Simpanan Nasional
Tel : 03-2162 3222 samb. 6006
Faks : 03-2162 6623
Emel : arida_ariffin@bsn.com.my |