|
Kuala Lumpur, 17 April 2009 - Bank Simpanan Nasional (BSN) telah dianugerahkan “Agent of the Year Award 2008 for South East Asia”. Anugerah telah disampaikan ketika Persidangan Western Union yang telah diadakan di Afrika Selatan baru-baru ini.
Bersaing dengan agen-agen Western Union yang antaranya merupakan bank-bank komersial yang cukup besar di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei, anugerah ini telah diberikan di atas kecemerlangan BSN sebagai agen kutipan untuk perkhidmatan Western Union yang telah merekodkan pertumbuhan pendapatan yang sangat memberangsangkan di samping memastikan operasi yang efisien serta melaksanakan pelan pemasaran strategik dan optimum sepanjang tahun. Sebagai sebuah bank komuniti dan salah sebuah institusi kewangan yang mempunyai rangkaian cawangan yang luas di seluruh negara, BSN telah memastikan akses kepada perkhidmatan ini dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat di kesemua 375 cawangannya di Malaysia.
Adinan Maning, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN berkata, “ Anugerah ini membuktikan bahawa BSN telah memainkan peranan utamanya dalam menyediakan produk, perkhidmatan dan kemudahan perbankan kepada masyarakat di Malaysia. Sebagai sebuah Bank Komuniti, BSN akan sentiasa memperkukuhkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan orang ramai”.
Ratheesh Kumar, Pengarah Western Union bagi Asia Selatan dan Asia Tenggara berkata, “Bagi pihak Western Union, saya ingin mengucapkan tahniah kepada BSN kerana telah menerima anugerah ini. Kami amat berbesar hati kerana BSN telah menyediakan perkhidmatan yang efisien melalui perkhidmatan penghantaran wang Western Union.”
- TAMAT -
|