Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri 2008 di Ibu Pejabat BSN Meriah


Kuala Lumpur, 28 Oktober 2008 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitrinya di Perkarangan Wisma BSN, Jalan Ampang. Majlis menerima kunjungan tetamu yang rata-rata terdiri daripada wakil-wakil Kedutaan, pegawai-pegawai Kerajaan, pelanggan-pelanggan korporat bank dan rakaniaga. Turut bersama-sama menyambut tetamu di majlis pada hari ini ialah Pengerusi BSN, Y.Bhg. Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN, Encik Adinan Maning.

Sambutan Rumah Terbuka BSN pada tahun ini memberi peluang kepada para tetamu untuk beramah mesra dan menjamu selera di dalam suasana persekitaran yang berkonsepkan gerai terbuka. Di samping menjamu selera, para tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu Hari Raya daripada kumpulan Hi-Savers, yang terdiri daripada kakitangan BSN sendiri serta persembahan tarian daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kg. Baru, Kuala Lumpur. Sekumpulan ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak yatim turut diraikan dengan pemberian sumbangan ‘duit raya’ yang disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Menurut Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN, “BSN amat berterima kasih di atas segala sokongan yang telah diberikan oleh Kerajaan, rakan-rakan niaga, pelanggan-pelanggan korporat dan masyarakat daripada pelbagai peringkat. BSN berharap pada majlis hari ini, kami dapat meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama-sama mereka di samping memupuk hubungan yang erat secara berterusan.”

Dalam majlis yang sama, Dato’ Seri Abdul Azim turut menekankan peranan dwi-peranan (dual role) yang dimandatkan oleh Kerajaan untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia. Sejajar dengan tagline ‘Bank Komuniti Anda’, BSN telah membuat penambahbaikan dan mempelbagaikan produk serta perkhidmatannnya untuk komuniti di Malaysia. Di antara kemudahan yang ditawarkan adalah kemudahan untuk peniaga-peniaga kecil yang berpotensi untuk membesarkan perniagaan mereka melalui Skim Mikro Kewangan. Untuk membantu rakyat-rakyat miskin tegar, BSN juga adalah salah satu Bank yang dipilih untuk menyalurkan bantuan pemulihan rumah kepada mereka yang berkenaan. Di samping itu, peluang juga dibuka kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi mampu untuk membayar pinjaman mendapatkan kemudahan Pembiayaan Perumahan Rakyat dan mempunyai rumah kediaman. Ini termasuk juga menyediakan akses kewangan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman dan terpencil dengan menyediakan Unit Bank Bergerak dan cawangan-cawangan kecil sebagai salah satu obligasi sosial BSN.

BSN turut membuka kaunter promosi produk-produk BSN seperti Sijil Simpanan Premium (SSP) dan sebagainya. Majlis yang bermula jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 6.00 petang.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN