|
Kuala Lumpur, 8 Ogos 2008 – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) telah melancarkan pusat pemasaran dan pentadbirannya pada hari ini bagi meningkatkan lagi inisiatif-inisiatif perkhidmatan pelanggannya. Pusat ini yang terletak di Wangsa Maju akan menempatkan jabatan-jabatan pemasaran, sokongan dan perkhidmatan pelanggan.
YBhg Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi Bank Simpanan Nasional telah melancarkan Pusat tersebut secara rasmi. Turut hadir di upacara tersebut ialah Encik Adinan Maning, Pengerusi Lembaga Pengarah PruBSN; Encik Mohamad Salihuddin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN dan Lembaga Pengarah PruBSN.
Encik Mohamad Salihuddin berkata, “Adalah misi kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dan rakan niaga kami. Untuk melaksanakan misi ini, PruBSN telah mengambil langkah untuk melancarkan pusat pemasaran dan pentadbiran kami di Wangsa Maju. Ini adalah merupakan langkah pertama kami untuk mengembangkan perniagaan kami ke kawasan-kawasan tertentu dalam usaha kami untuk merealisasikan aspirasi untuk menjadi pembekal perkhidmatan lulusan shariah bertaraf dunia.”
Menurut Encik Salihuddin juga, Pusat tersebut juga akan memberi perkhidmatan sokongan kepada agen-agen langsung PruBSN. Buat masa ini, produk-produk PruBSN dijual melalui tenaga agensi langsung dan Prudential Assurance, yang berjumlah hampir 10,000 agen.
PruBSN telah mencatat pertumbuhan yang ketara semenjak bermula operasi dan telah melebihi sumbangan sasaran awal sebanyak RM150 juta. Sehingga kini, jumlah terkumpul adalah RM288 juta daripada 180,000 para pelanggan. Dengan pencapaian ini, PruBSN muncul sebagai Pengendali Takaful nombor satu di Malaysia untuk sumbangan biasa perniagaan Takaful keluarga.
PruBSN akan mengukuhkan lagi kedudukannya di dalam industri Takaful melalui pelancaran produk-produk baru. Baru-baru ini, PruBSN telah melancarkan Takaful Puteri, suatu produk rider eksklusif bagi kaum wanita yang mempunyai Pelan Takafulink PruBSN.
Dua produk baru yang akan dilancarkan pada pertengahan bulan Ogos dan November tahun ini termasuk suatu produk perlindungan sepenuhnya bagi BancaTakaful. Di dalam perancangan juga termasuk dua lagi produk baru, termasuk dua produk rider untuk diedarkan olah tenaga agensi, yang dijangka akan dilancarkan pada tahun kewangan yang akan datang.
Bagi mengembangkan lagi pasarannya, PruBSN merancang untuk menembusi pasaran bukan-Muslim. Jelas Encik Salihuddin, “Satu lagi pasaran yang kami ingin memperkukuhkan ialah pasaran bukan Muslim. Antara usaha utama kami ialah mengasaskan satu standard pengiriman dan perkhidmatan bertaraf dunia yang dicontohi. Kami akan terus mendidik rakyat Malaysia bahawa produk-produk Takaful bukan sahaja untuk pemegang sijil Muslim sahaja. Pada masa kini, 35% daripada pelanggan kami adalah bukan-Muslim. Dengan mengubahkan set minda rakyat Malaysia terhadap Takaful serta menerapkan nilai-nilai korporat kami iaitu Boleh Dipercayai; Hormat; Bertimbang Rasa; Mesra; dan Kerjasama (TRUST atau Trustworthy; Respect; Understanding; Smile; Teamwork), kami yakin dapat membantu rakyat jelata lebih memahami prinsip dan menghargai keindahan sistem insurans berunsur Islam.”
Untuk memperluaskan perkhidmatannya kepada pelanggan, PruBSN akan membuka beberapa pejabat kawasan. Pada akhir tahun ini, PruBSN akan membuka pejabat kawasan di Shah Alam dan Johor Baru. Perancangan juga sedang dibuat untuk membuka tiga lagi pejabat di kawasan-kawasan lain menjelang tahun hadapan. Malahan, PruBSn juga meningkatkan usaha untuk mengembangkan tenaga agensi langsungnya. Pada masa kini, PruBSN mempunyai lebih kurang 800 agen langsung.
Di dalam ucapannya, YBhg Dato’ Seri Azim Mohd Zabidi berkata, “Usaha sama di antara BSN dan Prudential telah meletakkan PruBSN di tempat yang kukuh untuk memasarkan produk-produk Takaful kepada rakyat Malaysia. BSN, yang telah menawarkan perkhidmatan kewangan kepada rakyat Malaysia selama lebih 30 tahun, mempunyai 373 buah cawangan di seluruh negara dan lebih tujuh juta pelanggan. Berserta dengan Prudential yang mempunyai rangkaian antarabangsa melalui tenaga kerja seramai 23,000 dan lebih 21 juta pelanggan di seluruh dunia, PruBSN dijangka akan sentiasa mencatat prestasi yang kukuh.
“Saya amat bangga melihat pertumbuhan dan perkembangan pesat yang telah dialami oleh PruBSN dalam jangka masa yang begitu singkat. Usaha sama kami dengan Prudential adalah salah satu inisiatif yang telah kami laksanakan dalam usaha kami untuk mentransformasikan BSN. Kami juga telah menyediakan beberapa inisiatif supaya dapat kekal kompetitif di dalam perkhidmatan kewangan di samping mewujudkan nilai tambah kepada para pelanggan kami,” tambah YBhg Dato’ Azim.
|