|
Seberang Jaya, 27 September 2008 - BSN hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan September 2008 di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang. Cabutan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BSN di dalam memainkan peranannya untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat Malaysia. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang, Y.Bhg. Tuan Haji Farizan Bin Darus.
Majlis Cabutan ini merupakan aktiviti bulanan BSN yang diadakan untuk semua masyarakat di Malaysia di mana orang ramai berpeluang untuk menyaksikan bagaimana keputusan untuk pemilihan pemenang bagi Cabutan Bulanan SSP dijalankan. BSN mengunjungi setiap bandar-bandar utama di seluruh negara untuk mempromosi SSP kepada semua masyarakat di Malaysia. Negeri Pulau Pinang merupakan lokasi yang kesembilan yang dikunjungi oleh BSN. Sejajar dengan tagline ”Bank Komuniti Anda”, BSN berharap kunjungan ke setiap bandar-bandar utama ini dapat memberi informasi yang lebih tepat kepada semua komuniti di Malaysia berhubung produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSN kepada orang ramai.
Bagi menarik minat orang ramai untuk menyimpan dengan SSP, pada tahun ini BSN telah menambah jumlah hadiah daripada 1558 kepada 1616 hadiah yang bakal dimenangi oleh penyimpan-penyimpan SSP setiap bulan. Hadiah-hadiah utama bagi cabutan SSP bulan September merupakan sebuah kereta Mercedes Benz C200K, Perdana V6 2.0, Naza Citra 2.0 dan Persona. Lain-lain hadiah yang boleh dimenangi adalah pakej umrah dan pelancongan serta barang-barang elektrik.
Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan BSN, Md Shariff Manat, " Produk SSP merupakan salah satu produk simpanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan hadiah-hadiah yang ditawarkan juga turut ditambah untuk menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP. Setakat hari ini jumlah pemegang SSP juga semakin ramai dan telah meningkat melebihi 1.4 juta orang dengan nilai simpanan melebihi RM900 juta. Sebagai sebuah Bank yang simpanannya dijamin oleh Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab BSN untuk menggalakkan tabiat menabung dan menyimpan di kalangan rakyat Malaysia."
Orang ramai yang ingin memulakan simpanan mereka dengan SSP kini dapat membuat pembelian sijil dengan cara yang amat mudah. Pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN malah melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih.
Di samping itu, untuk terus menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP, BSN telah mengumumkan pembayaran dividen bagi SSP tahun 2008 di mana dividen akan diberikan kepada mereka yang menyimpan lebih daripada RM2,000 ke atas bermula 1 Jan – 30 Jun 2008 dan mengekalkan simpanan mereka sehingga bulan Disember 2008.
Yang terbaru, orang ramai kini berpeluang untuk menyemak keputusan SSP di dalam laman web BSN. Pemegang SSP cuma perlu memasukkan samada No. SSP atau No. Kad Pengenalan untuk mengetahui samada mereka adalah salah seorang pemenang SSP untuk bulan tersebut. Informasi ini akan dimasukkan di dalam laman web BSN yang boleh dilayari di http://www.bsn.com.my setelah proses memilih pemenang dibuat di hadapan wakil-wakil daripada Jabatan Aktuari, Kementerian Kewangan dan disahkan oleh wakil daripada Audit Negara. Orang ramai juga boleh menyemak akhbar-akhbar harian utama dan juga melalui SMS untuk mendapatkan keputusan SSP.
|