MENANGI HADIAH-HADIAH LUMAYAN

Simpan Bersama BSN dan Menangi Hadiah-hadiah Lumayan



Seremban, 26 Julai 2008 - BSN hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan Julai di Terminal One, Jalan Lintang, Seremban, Negeri Sembilan, Darul Khusus.

Majlis Cabutan ini merupakan aktiviti bulanan BSN yang diadakan untuk semua masyarakat di Malaysia di mana orang ramai berpeluang untuk menyaksikan bagaimana keputusan untuk pemilihan pemenang bagi Cabutan Bulanan SSP dijalankan. Negeri Sembilan merupakan lokasi yang ketujuh untuk BSN mengadakan cabutan bulanannya sepanjang tahun 2008. BSN mengunjungi setiap bandar-bandar utama di seluruh negara untuk mempromosi SSP kepada semua masyarakat di Malaysia. Sejajar dengan tagline ”Bank Komuniti Anda”, BSN berharap kunjungan ke setiap bandar-bandar utama ini dapat memberi informasi yang lebih tepat kepada semua komuniti di Malaysia berhubung produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BSN kepada orang ramai.

Bagi menarik minat orang ramai untuk menyimpan dengan SSP, pada tahun ini BSN telah menambah jumlah hadiah daripada 1558 kepada 1616 hadiah yang bakal dimenangi oleh penyimpan-penyimpan SSP setiap bulan. Hadiah-hadiah utama bagi cabutan SSP bulan Jun merupakan sebuah kereta Mercedes Benz C200K, Perdana V6 2.0, Naza Citra 2.0, Persona dan Kriss 120 MA120F(E). Lain-lain hadiah yang boleh dimenangi adalah pakej umrah dan pelancongan serta barang-barang elektrik.

Menurut Zainuddin Ahmad, Pengarah Jabatan Pengurusan Sumber Manusia BSN, " Produk SSP merupakan salah satu produk simpanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan hadiah-hadiah yang ditawarkan juga turut ditambah untuk menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP. Setakat hari ini jumlah pemegang SSP juga semakin ramai dan telah meningkat kepada hampir 1.4 juta orang dengan nilai simpanan melebihi RM900 juta. Sebagai sebuah Bank yang simpanannya dijamin oleh Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab BSN untuk menggalakkan tabiat menabung dan menyimpan di kalangan rakyat Malaysia."

Orang ramai yang ingin memulakan simpanan mereka dengan SSP kini dapat membuat pembelian sijil dengan cara yang amat mudah. Pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN, Mesin Deposit Tunai BSN malah melalui Unit Bank Bergerak BSN di lokasi-lokasi terpilih.

Di samping itu, untuk terus menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP, BSN telah mengumumkan pembayaran dividen bagi SSP tahun 2007 di mana pembayarannya telah mula dilakukan pada bulan Mei. Pada tahun ini, BSN juga akan memberikan dividen kepada mereka yang menyimpan lebih daripada RM2,000 ke atas bermula 1 Jan – 30 Jun 2008 dan mengekalkan simpanan mereka sehingga bulan Disember 2008.

Bagi menyemak keputusan bulanan cabutan SSP orang ramai boleh melakukannya dengan megunjungi laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my atau menyemak akhbar-akhbar harian utama dan juga melalui SMS.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN