BSN UMUMKAN SENARAI BARU HADIAH SSP 2008



Alor Setar, 26 Januari 2008 - BSN hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan Januari 2008 yang turut mengumumkan senarai baru hadiah SSP untuk dimenangi oleh pemegang-pemegang SSP bagi sepanjang tahun 2008.

Majlis dihadiri oleh Bendahari Negeri Kedah, Tuan Haji Che Pee Samsuddin dan Timbalan Pengurus Besar I BSN (Perbankan Konsumer) Encik Jamaluddin Nor Mohammad.

Seperti tahun-tahun yang sebelum ini, BSN tahun ini sekali lagi telah menambah jumlah tawaran hadiah kepada pemegang-pemegang sijil SSP setiap bulan. SSP yang sebelum ini menawarkan 1558 buah hadiah setiap di dalam tahun 2007, tahun ini menambah bilangan kepada 1616 buah tahun ini dan secara keseluruhan sebanyak 19, 392 hadiah ditawarkan untuk dimenangi sepanjang tahun 2008.

Diantara hadiah-hadiah baru yang diumumkan di dalam senarai hadiah untuk tahun 2008 ialah pakej perlancongan, pakej Umrah (untuk yang berugama Islam) dan Proton Persona. Selain itu, pemegang-pemegang SSP juga berpeluang untuk memenangi lebih banyak hadiah-hadiah eksklusif MPV Naza Citra dan kereta Proton Waja 1.6 yang ditambah bilangannya kepada 6 daripada 4 pada tahun ini.

Berkata kepada media pada petang itu, Jamaluddin Nor Mohamad, Timbalan Pengurus Besar I Perbankan Konsumer BSN memberitahu “BSN amat berharap dengan insentif-insentif seperti peningkatan hadiah yang juga semakin menarik ini akan menjadi dorongan kepada orang ramai untuk mula menyimpan dan terus menambah simpanan mereka di dalam SSP. Kesemua hadiah yang ditawarkan boleh dimenangi dengan hanya simpanan minimum RM10.00. Pengalaman lalu telah membuktikan bahawa tiada amaun atau jumlah tertentu yang diperlukan untuk seseorang memenangi hadiah yang ditawarkan dan SSP juga turut menawarkan faedah dividen tahunan dan sandaran sijil untuk mendapatkan 95% daripada nilai simpanan.”

Beliau turut berkongsi dengan wartawan bahawa SSP pada tahun lepas telah menyampaikan hadiah kereta mewah Mercedes Benz kepada seorang pelajar yang berusia 16 tahun yang mempunyai nilai simpanan SSP hanya RM200.

BSN di majlis turut mengumumkan pembayaran dividen kepada penyimpan skim SSP di dalam tahun 2007 yang mengekalkan simpanan SSP mereka berjumlah RM2,000 dan keatas bermula 30 Jun 2007 hingga 31 Disember 2007 tanpa menebus SSP. Dianggarkan sejumlah RM3 juta akan digunakan oleh BSN bagi membuat bayaran dividen yang akan dimulakan pada bulan Mac 2008.

Sijil Simpanan Premium (SSP) ialah merupakan sebuah produk simpanan BSN yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia semenjak 31 tahun yang lalu. Orang ramai hanya perlu menyimpan dengan amaun minimum RM10 dengan untuk mempunyai peluang yang sama rata bagi memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan setiap bulan. Pembelian sijil juga telah dipermudahkan oleh BSN dimana sekarang orang ramai boleh membuat pembelian sijil dari mana-mana rangkaian mesin ATM, cawangan-cawangan dan di kaunter-kaunter di mana promosi BSN diadakan.

Majlis pada petang itu turut meraikan mengundang pemenang-pemenang cabutan SSP yang lepas untuk majlis penyampaian hadiah SSP. Di antara pemenang yang hadir ialah Normawati Abdul Wahab, pemenang hadiah utama cabutan SSP bulan September 2007 yang lepas. Beliau yang berasal daripada Kuala Perlis telah membawa pulang sebuah Mercedes Benz C200K. Lain-lain pemenang yang hadir ialah Rosmawati Abdul Ghani, pemenang bulan Mei 2007 dan Ahmad Hasbi Awang Teh, pemenang bulan Jun 2007 yang mana kedua-dua mereka telah memenangi hadiah Proton Perdana V6. Manakala Mohd Rizal Abdul Rahim pemenang hadiah tempat ke-7 cabutan SSP bulan Oktober 2007 telah memenangi sebuah Proton Gen2 1.6. Kesemua pemenang berkongsi pengalaman dengan hadirin pada petang itu dan menceritakan pengalaman dan kegembiraan mereka menyimpan bersama Skim SSP serta memenangi hadiah eksklusif cabutan SSP.

Pada tahun ini, BSN akan menganjurkan majlis cabutan SSP di beberapa lokasi utama di sekitar tanahair. Majlis cabutan SSP 2008 bakal mengunjungi tempat berikut Kedah (Januari), Kuala Lumpur (Februari), Pahang (Mac), Johor (April), Selangor (Mei), Terengganu (Jun), Negeri Sembilan (Julai), Sabah (Ogos), Pulau Pinang (September), Kelantan (Oktober), Melaka (November) dan Perak (Disember).

Tetamu-tetamu majlis pada hari ini turut disajikan dengan pelbagai acara menarik diantaranya seperti persembahan tarian daripada Badan Kebudayaan Kg. Tradisi, Kubang Pasu, Kuiz, Cabutan Bertuah dan banyak lagi. Di samping itu terdapat juga kaunter-kaunter promosi yang disediakan untuk produk –produk BSN.

Keputusan akhir cabutan bulanan SSP diumumkan melalui akhbar-akhbar utama, melalui SMS atau melalui laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my dan pemegang-pemegang sijil disarankan untuk menyemak bagi keputusan.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN