|
Putrajaya, 26 April 2008 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah memperkenalkan semula skim pinjaman sewa beli kenderaannya kepada orang ramai.
Skim pinjaman sewa beli kenderaan ini adalah khusus untuk kakitangan kerajaan berjawatan tetap yang mempunyai kemudahan Biro Perkhidmatan Angkasa. Merupakan satu projek ‘pilot’ di mana kemudahan ini hanya boleh diproses dan dipohon di cawangan-cawangan di sekitar Kuala Lumpur sahaja, pinjaman ini juga terbuka kepada kakitangan-kakitangan koperasi-koperasi dan badan-badan berkanun kerajaan.
Kadar faedah yang kompetitif dan tempoh bayaran balik yang panjang merupakan antara ciri-ciri ataupun kelebihan yang dijangka dapat menarik perhatian kakitangan-kakitangan kerajaan yang layak untuk memohon. Skim ini adalah terbuka untuk pembelian kereta –kereta baru berjenama Proton di mana had pinjaman minima adalah sebanyak RM20,000.00 dan had pinjaman maksima adalah sebanyak RM150,000.00
Menurut Adinan Maning, Ketua Pegawai Eksekutif BSN “ Skim pinjaman sewa beli ini bukanlah merupakan satu kemudahan baru yang kami tawarkan kepada orang ramai. Dengan memperkenalkan semula skim ini yang mensasarkan kepada golongan kakitangan kerajaan sebagai pelanggan pilihan, kami amat optimistik bahawa skim yang menawarkan kadar yang kompetitif ini akan dapat menarik minat mereka untuk memilih BSN sebagai salah satu institusi kewangan yang dapat memberi kemudahan dalam pembelian kenderaan nasional.”
Selain daripada Skim Pinjaman Sewa Beli, BSN juga menawarkan pakej istimewa Kad Kredit Al Aiman dan Pinjaman Persendirian kepada kakitangan kerajaan dengan kadar faedah yang menarik. Sejajar dengan peranannya sebagai sebuah bank komuniti, BSN terus memperkenalkan skim-skim baru serta memperkembangkan produk dan perkhidmatannya untuk memenuhi kehendak masyarakat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Khidmat Pelanggan BSN di talian 03-2142 5258 atau layari laman web kami di http://www.bsn.com.my.
|