|
Johor Bahru, 26 April 2008 - BSN hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan April 2008 di Plaza Angsana, Johor Bharu.
Produk simpanan SSP BSN adalah sinonim dengan BSN di kalangan masyarakat Malaysia dan BSN merupakan satu-satunya bank di Negara ini yang menawarkan produk simpanan yang memberi peluang kepada masyarakat di Malaysia untuk memenangi pelbagai hadiah yang lumayan dan eksklusif ini. Sejak dimulakan lebih 30 tahun lalu, pemenang-pemenang cabutan SSP terdiri daripada penyimpan-penyimpan yang berbilang bangsa dan agama. Penyimpan-penyimpan mempunyai peluang yang sama rata bagi memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan setiap bulan dengan hanya perlu menyimpan amaun minimum, RM10.
Hadiah-hadiah utama bagi cabutan SSP bulan April merupakan sebuah kereta BMW 320i diikuti oleh sebuah kereta Proton Perdana V6 2.0 dan Proton Waja 1.6 (A). Lain-lain hadiah yang boleh dimenangi adalah Proton MYVI 1.3 Ezi, pakej umarah dan pelancongan juga barang-barang elektrik berjenama terkenal. Pada tahun ini BSN telah menambah jumlah hadiah kepada pemegang-pemegang sijil SSP dari 1558 buah hadiah setiap bulan kepada 1616 buah tahun ini. Jumlah hadiah yang ditawarkan sepanjang tahun 2008 adalah sebanyak 19,932 buah.
Menurut Norazian Ahmad Tajuddin, Timbalan Pengurus Besar Perbankan Konsumer dan Perkhidmatan Sokongan Perniagaan BSN, " Produk SSP merupakan salah satu produk simpanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia dan hadiah-hadiah yang ditawarkan juga turut ditingkatkan untuk menggalakkan orang ramai terus menyimpan dengan SSP. Setakat hari ini jumlah pemegang SSP juga semakin bertambah dan telah meningkat kepada hampir 1.4 juta orang dengan nilai simpanan melebihi RM800 juta. Sebagai sebuah Bank yang dijamin oleh Kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab BSN untuk menggalakkan tabiat menabung dan menyimpan di kalangan rakyat Malaysia."
Orang ramai yang ingin memulakan simpanan mereka dengan SSP kini dapat membuat pembelian sijil dengan cara yang amat mudah. Pembelian sijil-sijil bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter cawangan BSN seluruh Malaysia, mesin ATM BSN malah melalui Unit Bank Bergerak BSN yang dilancarkan baru-baru ini. Pembelian SSP juga boleh dilakukan di Mesin Deposit Tunai yang telah diletakkan di cawangan-cawangan terpilih BSN.
Majlis cabutan SSP pada bulan ini turut dimeriahkan dengan beberapa acara menarik untuk orang ramai seperti pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan pentas oleh murid-murid sekolah, acara kuiz dan banyak lagi.
Bagi menyemak keputusan bulanan cabutan SSP orang ramai boleh melakukannya dengan megunjungi laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my atau menyemak akhbar-akhbar harian utama dan juga melalui SMS.
|