|
Kepong, 23 Februari 2008 - BSN hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) untuk bulan Februari 2008 di Jusco Metro Prima, Kepong.
SSP merupakan produk simpanan BSN yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia semenjak lebih 30 tahun lalu. Orang ramai hanya perlu menyimpan dengan amaun minimum RM10 untuk mempunyai peluang yang sama rata bagi memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan setiap bulan. Pemenang-pemenang sijil SSP terdiri daripada pemegang-pemegang sijil yang berbilang bangsa, agama dan latarbelakang.
Hadiah-hadiah utama bagi cabutan SSP bulan Februari merupakan sebuah kereta Mercedes-Benz E200K diikuti oleh sebuah kereta Proton Perdana V6 2.0 dan Proton Waja 1.6 (A). Pada tahun ini BSN telah menambah jumlah hadiah kepada pemegang-pemegang sijil SSP dari 1558 buah hadiah setiap bulan kepada 1616 buah tahun ini. Jumlah hadiah yang ditawarkan sepanjang tahun 2008 adalah sebanyak 19,932 buah.
Menurut Jamaluddin Nor Mohamad, Timbalan Pengurus Besar I BSN Perbankan Konsumer, “BSN akan terus giat mempromosikan produk simpanan seperti SSP kerana ia dapat menarik minat rakyat Malaysia untuk menabung dan menyimpan. Setiap tahun kami akan menawarkan sesuatu yang baru kepada penyimpan-penyimpan SSP kami sebagai insentif sebagai dorongan kepada mereka untuk memupuk tabiat menyimpan ini.”
Bermula pada bulan Mac, BSN juga akan membuat pembayaran dividen kepada pemegang-pemegang SSP yang layak secara berperingkat. Pembayaran dividen ini ialah untuk pemegang yang telah menyimpan sejumlah RM2,000 dan lebih, yang tidak menebus sijil mereka sejak 30 Jun, 2007. BSN telah memperuntukkan lebih daripada RM 3 juta untuk pembayaran dividen ini. Menyimpan dengan SSP juga menjadi lebih mudah kerana sijil-sijil bukan sahaja boleh dibeli di kaunter-kaunter dan mesin ATM BSN malahan di Unit Bank Bergerak BSN yang dilancarkan baru-baru ini serta di mesin-mesin deposit tunai BSN yang akan diletakkan di cawangan-cawangan terpilih pada bulan Mac kelak.
Pada tahun ini, BSN menganjurkan majlis cabutan SSP di beberapa lokasi utama di seluruh Malaysia iaitu Kedah (Januari), Kuala Lumpur (Februari), Pahang (Mac), Johor (April), Selangor (Mei), Terengganu (Jun), Negeri Sembilan (Julai), Sabah (Ogos), Pulau Pinang (September), Kelantan (Oktober), Melaka (November) dan Perak (Disember).
Majlis cabutan SSP bulan ini lebih meriah dengan promosi hadiah bulan Perayaan. Pemenang bulan ini akan berpeluang membawa pulang hadiah khas kereta Mercedes Benz E200K. Di dalam bersuasanakan sebuah Karnival, BSN di majlis yang sama juga turut menganjurkan beberapa acara menarik untuk orang ramai yang hadir seperti pertandingan mewarna, pertandingan “Walk A Hunt” dan persembahan ‘Coral Speaking’ oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Nenas 2.
Untuk menyemak keputusan cabutan SSP setiap bulan orang rami boleh megunjungi laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my, menyemak akhbar-akhbar harian utama ataupun melalui SMS.
|