 |
En Adinan Maning, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN (kanan) dan En Hussian A. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOne Sdn Bhd di dalam Majlis Pelancaran Perkhidmatan Perbankan Melalui Sistem Pesanan Ringkan (BSN:SMS) sambil diperhati oleh Y.Bhg Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN dan Y.Bhg Dato’ Dr. Wan Azmi Ariffin, Pengerusi MobilityOne Sdn Bhd. |
Kuala Lumpur, 20 Oktober 2008 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menambah lagi tawaran perkhidmatannya dengan melancarkan Perkhidmatan Perbankan Pesanan Ringkas (Perbankan SMS). Majlis perasmian disempurnakan oleh Y.Bhg. Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN dan diturut serta oleh Y.Bhg Dato’ Dr. Wan Azmi Ariffin, Pengerusi MobilityOne Sdn Bhd, En Adinan Maning, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN dan En Hussian A. Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOne Sdn. Bhd. Perkhidmatan terbaru daripada BSN ini merupakan sebahagian daripada usaha BSN untuk memaksimakan teknologi komunikasi untuk perkhidmatan perbankan yang lebih efisien dan cekap.
Perkhidmatan BSN:SMS ini adalah kesinambungan daripada inisiatif berterusan BSN untuk menyediakan saluran perkhidmatan yang pelbagai untuk pelanggan-pelanggannya. Ia juga merupakan salah satu komitmen BSN untuk menyediakan akses perkhidmatan perbankan asas kepada pelanggan-pelanggannya dan segenap lapisan masyarakat di Malaysia dengan lebih mudah.
Menurut Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN, “BSN mengambil berat mengenai keperluan-keperluan perbankan asas untuk komuniti di Malaysia. Sejajar dengan mandat yang dipertanggungjawabkan ke atas BSN untuk menyediakan akses kewangan secara menyeluruh, BSN telah memaksimakan gabungan teknologi dan medium telekomunikasi dengan tujuan untuk mempermudahkan transaksi perbankan asas kepada pelanggan-pelanggan dan orang ramai.”
Perkhidmatan BSN:SMS ini adalah kerjasama di antara syarikat MobilityOne Sdn Bhd selaku penyedia perkhidmatan (gateway provider) dan disertai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi ternama di Malaysia seperti Celcom, Maxis dan Digi. Sebagai permulaan, pelanggan-pelanggan yang berdaftar untuk perkhidmatan ini boleh membuat transaksi seperti penambahan nilai pra bayar telefon bimbit meliputi semua rangkaian mudah alih, pertanyaan baki akaun, pembayaran bil-bil utiliti utama seperti Astro, TNB, dan Syabas, pemindahan wang di antara pemegang Akaun BSN, pembelian Sijil Simpanan Premium dan pembelian PIN untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam. Setiap urusan dikenakan caj sms yang minima.
BSN mensasarkan seramai 10,000 pelanggan yang akan berdaftar untuk perkhidmatan ini pada bulan Disember 2008. Untuk menarik lebih ramai pengguna melanggani perkhidmatan ini, BSN turut mengadakan beberapa promosi bermula 22 Oktober sehingga 31 Januari 2009 - di antaranya adalah Promosi ‘SMS Daftar & Menang’ di mana 888 pelanggan pertama yang membuat pendaftaran untuk menggunakan Perbankan SMS akan mendapat masa bercakap (airtime) bernilai RM10.00. Sementara itu Celcom turut melaksanakan promosi tambah nilai di mana pelanggan yang membuat tambahan nilai yang tertinggi dalam seminggu akan memenangi kredit prabayar bernilai RM200.00. Sementara itu hadiah utama untuk tambah nilai tertinggi terkumpul merupakan pakej pelancongan/umrah untuk 2 orang. Promosi Celcom bermula 1 November 2008 dan berakhir pada 31 Januari 2009.
Bagi pelanggan-pelanggan Hotlink yang menambah nilai melalui BSN, hanya dengan tambah nilai RM10, mereka akan menikmati pakej muat turun istimewa yang mengandungi penghias skrin, true tunes dan klip video, percuma untuk tempoh percubaan selama dua minggu. Promosi menarik ini sah sehingga 31 Disember 2008 dan semua pelanggan yang layak boleh menikmatinya sekali dalam tempoh tersebut. |