PERMODALAN BSN BERHAD LANCAR DANA AMANAH SAHAM ISLAM



 

Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi,
Pengerusi BSN dan PBSN sedang menunjukkan
Prospektus BSN Dana Al-Jadid kepada
Y.B Dato’ Hj Ahmad Husni Hanadzlah,
Timbalan Menteri Kewangan I,
di Majlis Pelancaran BSN Dana Al-Jadid





Kuala Lumpur, Rabu, 18 Jun 2008 – Permodalan BSN Berhad (PBSN), sebuah syarikat pengurusan dana yang dimiliki penuh oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), hari ini melancarkan dana amanah saham terbaru yang dikenali sebagai BSN Dana Al-Jadid.

”Al-Jadid” membawa maksud Permulaan Baru dan pelancaran ini menandakan fasa baru bagi PBSN dalam usahanya untuk mempelbagaikan produk pelaburan yang ditawarkan kepada orang ramai. BSN Dana-Al Jadid adalah dana yang memenuhi kehendak Syariah yang bertujuan mencapai pertumbuhan modal and pengagihan pendapatan stabil dengan pelaburan dalam sekuriti yang berlandaskan prinsip Syariah, sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan lain-lain sekuriti dan/atau instrumen yang memenuhi kehendak Syariah. Dana amanah saham ini boleh dibeli bermula 18 Jun 2008 dan salinan Prospektus boleh didapati dari mana-mana cawangan bank BSN di seluruh negara.

Pelancaran BSN Dana Al–Jadid ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Y.B Dato’ Hj. Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan diiringi oleh Y.Bhg. Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN dan PBSN. Turut hadir ialah En Abdul Aziz Abdullah, memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PBSN dan En Adinan Maning, Pengurus Besar/ Ketua Eksekutif BSN.

Mengalu-alukan penyertaan orang ramai di dalam pelaburan dana amanah saham, Y.B Dato’ Hj. Ahmad Husni berkata “semuga pelancaran dana amanah saham ini dapat membantu industri dana amanah saham untuk terus berkembang dengan pesat sebagai jentera penggerak untuk simpanan rakyat di dalam pasaran saham”.

Dana amanah saham merupakan salah satu penyumbang kepada industri pengurusan pelaburan di Malaysia. Sejak 5 tahun kebelakangan ini, industri dana amanah saham di Malaysia telah berkembang dengan positif dengan mencatatkan sumbangan sebanyak 45% di peringkat ASEAN dalam pengurusan ’mutual funds’ dan dana amanah saham. Perkembangan yang positif juga telah direkodkan oleh dana amanah saham berlandaskan prinsip Syariah yang meningkat sebanyak 84% pada tahun 2007.

BSN Dana Al-Jadid memberikan para pelabur kelebihan mengaut pulangan dari mekanisme dana yang dinamik serta penyusunan aset yang aktif. Saiz dana yang diluluskan adalah sebanyak 800 juta unit pada harga RM0.2500 seunit yang ditawarkan bermula 18 Jun 2008 hingga 8 Julai 2008. Pelaburan permulaan minima adalah sebanyak RM500.00 dan pelaburan tambahan minima adalah sebanyak RM100.00. Caj perkhidmatan adalah sehingga 3.00% daripada nilai asset bersih seunit dana.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN