|
Kuala Lumpur, 13 Mei 2008 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Eternal Eyewear (E & E)
untuk kempen "Promosi Bersama BSN & E & E". Majlis diadakan di Wisma BSN, Jalan Ampang dan dihadiri oleh Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN,
Adinan Maning dan Calvin How, Ketua Pegawai Eksekutif, E & E.
Menurut SH Sheon, Pengarah Pembangunan Program E & E "Program ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan dan memberi maklumat kepada orang
ramai berhubung kelebihan untuk membuat pelaburan melalui Sijil Simpanan Premium (SSP). Dengan pembelian sebanyak RM 350.00 dalam satu resit untuk
barangan optikal di mana-mana rangkaian E & E melayakkan pelanggan mendapat SSP percuma sebanyak RM50.00 dan pek hadiah bernilai RM300.00.
Melalui pembelian tersebut, pelanggan juga bakal mendapat pelindungan insuran ke atas sebarang kerosakan kacamata dalam tempoh 1 tahun
dari tarikh pembelian dari syarikat optikal yang menyertai rangkaian E & E dan menikmati pelindungan insuran kemalangan diri secara percuma.
Program ini juga membuka peluang kepada peniaga-peniaga yang menyertai program ini untuk menikmati beberapa kemudahan tambahan. Menurut
SH Sheon lagi "Dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, program ini sekurang-kurangnya membolehkan mereka menawarkan produk yang
berkualiti dengan ganjaran tambahan kepada pelanggan mereka”. Beliau juga menambah di samping membantu meningkatkan perniagaan peniaga-peniaga
sederhana, program ini juga akan memudahkan orangramai untuk memiliki kacamata. E & E sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan bagi
penjagaan mata kepada rakyat Malaysia dan beberapa sumbangan telah dilakukan untuk mencapai matlamat ini. Sehingga kini, E & E telah menyumbang lebih
RM85,000 untuk produk penjagaan mata. Dalam bulan Januari sahaja, E & E telah memberi sumbangan kacamata bernilai RM30,000 dan 1,000 baucar subsidi
bernilai RM50 setiap satu kepada pengunjung-pengunjung Program Mesra yang diadakan di Tasik Titiwangsa.
Dalam pada itu, bercakap pada media di majlis pelancaran hari ini, Adinan Maning, Pengurus Besar/ Ketua Eksekutif BSN berkata "Program ini merupakan
salah satu di antara kempen-kempen yang dijalankan oleh BSN untuk menarik minat orang ramai kepada skim-skim simpanan yang ditawarkan oleh BSN. Barangan
penjagaan mata merupakan keperluan bagi ramai rakyat Malaysia. Kerjasama ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan dan membeli keperluan
asas ini sambil menyimpan dengan BSN melalui SSP." SSP merupakan salah satu skim simpanan BSN yang memberi peluang kepada mereka yang membuat simpanan
untuk memenangi lebih daripada 1600 hadiah eksklusif yang ditawarkan setiap bulan. Hadiah-hadiah utama merupakan kereta mewah seperti BMW 320i,
Mercedez E200K, Proton Perdana V6 2.0 dan Proton Waja 1.6 (A) dan lain-lain hadiah yang menarik. BSN berharap kerjasama ini akan memberi peluang
kepada lebih ramai pelanggan-pelanggan untuk menjadi salah seorang penyimpan SSP.
Turut hadir di majlis pelancaran adalah Ketua Eksekutif Bernama TV, Dato’ Hj Mohd Suhaimi Abdullah, Pengarah Urusan Karangkraf, Dato’
Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang merupakan rakan media rasmi untuk kempen yang
dijalankan sepanjang tahun.
|