BSN BEROPERASI PADA HUJUNG MINGGU



Kuala Lumpur, 13 Mac 2008 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengumumkan pembukaan operasi kaunter di cawangan-cawangan bank yang terpilih pada hujung minggu bermula 15 Mac 2008. Ini merupakan salah satu inisiatif BSN untuk menawarkan lebih kemudahan, keselesaan serta saluran sistem penyampaian yang lebih efektif kepada pelanggan-pelanggannya di seluruh Malaysia.

Operasi perbankan hujung minggu ini boleh dinikmati di 6 buah cawangan terpilih di lokasi-lokasi pusat membeli belah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pahang. Cawangan–cawangan tersebut adalah:

-BSN cawangan Ampang Park
-Kompleks Pertama dan Putri Park (Wilayah Persekutuan)
-Cawangan Utama Shah Alam (Selangor)
-Kompleks Pusat Bandar (Johor)
-Kuantan Parade (Pahang)

Kesemua cawangan ini akan dibuka pada setiap hari Sabtu dan Ahad dan waktu operasi adalah dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang.

Dalam pada itu, untuk memastikan operasi perbankan hujung minggu ini turut dinikmati oleh pelanggan BSN di seluruh negara, terdapat 26 cawangan di seluruh Malaysia yang menawarkan perkhidmatan yang serupa. Cawangan-cawangan yang telah dikenalpasti ini akan beroperasi pada setiap hari Sabtu minggu kedua dan keempat setiap bulan yang akan bermula pada 22 Mac 2008. Waktu operasi adalah dari jam 10.00 pagi – 1.00 petang.

Kesemua 26 cawangan-cawangan yang akan beroperasi pada setiap hari Sabtu minggu yang kedua dan keempat adalah seperti berikut:
-Taman Sri Rampai dan Kepong Baru ( Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
-SS 14/14 Petaling Jaya dan Jalan Pos Baru Klang (Selangor)
-Bahau dan Dataran Senawang (Negeri Sembilan)
-Jalan Ali, Muar dan Alor Gajah (Melaka)
-Bandar Baru Uda dan Jalan Rogayah, Batu Pahat (Johor)
-Teluk Intan dan Parit Buntar (Perak)
-Bayan Baru dan Kulim (Pulau Pinang)
-Kedah (Jitra dan Sungai Petani)
-Jengka dan Bentong (Pahang)
-Pasir Puteh dan Rantau Panjang (Kelantan)
-Kuala Berang dan Kuala Nerus (Terengganu)
-Jalan Pantai, Kota Kinabalu dan Sandakan (Sabah)
-Kuching Sentral dan Batu 7, Jalan Penrissen (Sarawak)

Menurut Adinan Maning, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, ”Perkhidmatan operasi hujung minggu ini adalah untuk mamberi lebih kemudahan kepada pelanggan-pelanggan kami yang sibuk pada hari-hari biasa untuk menjalankan sebarang urusan perbankan mereka. Kami berharap perkhidmatan hujung minggu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelanggan-pelanggan kami di seluruh Malaysia. Ini merupakan salah satu usaha kami untuk memberi perkhidmatan yang berkualiti, mudah dan lebih selesa untuk semua pelanggan.”

Di antara urusan perkhidmatan dan transaksi yang dijalankan di kaunter-kaunter hujung minggu adalah pembayaran bil, penghantaran wang ke luar negara melalui Western Union, pembayaran balik pinjaman/ kad kredit, pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP), pembukaan akaun, simpanan, pengeluaran dan lain-lain lagi.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN