BSN Serah Hadiah Kepada Pemenang-pemenang Cabutan SSP Di Melaka





Melaka, 28 April 2007 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengadakan Majlis Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi bulan April di Dataran Pahlawan, Melaka Megamall. Majlis Cabutan SSP telah dijalankan di khalayak ramai bagi mengumumkan pemenang-pemenang cabutan bulanan.

Pada cabutan SSP pada kali ini, BSN menjemput pemenang-pemenang cabutan bulanan yang terdahulu yang juga berasal dari Melaka bagi menyampaikan hadiah-hadiah yang telah dimenangi. Mereka yang hadir bagi menerima hadiah adalah Puan Anitah Zainal, Puan Yeoh Poh Lian dan Encik Shamsul Kamal Ariffin. Puan Anitah telah memenangi sebuah Proton Perdana V6 pada cabutan SSP bulan Januari 2007 manakala Puan Yeoh pula pemenang bertuah pakej pelancongan ke Eropah untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara langsung di cabutan bulan Mac yang lepas. Tidak ketinggalan juga, pemenang cabutan bulan April tahun lepas, Encik Shamsul Kamal, turut disampaikan dengan hadiah yang dimenangi beliau, sebuah motosikal Modernas Kristar.

Hadiah telah disampaikan oleh YB Dato’ Haji Mohamad Said bin Yusof yang juga Ahli Parlimen Daerah Jasin dan En. Hasan Mohamed selaku Timbalan Pengurus Besar Operasi Pelaburan dan Perbankan BSN.

En. Hasan Mohamed semasa ditemubual berkata ” BSN berharap dengan usaha-usaha bagi mempromosikan produk-produk kami di peringkat negeri akan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai jenis produk yang ditawarkan oleh BSN. Seperti contoh, produk SSP ini merupakan suatu bentuk pelaburan yang bijak malah amat berbaloi kerana di samping menyimpan pemegang-pemegang sijil berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah eksklusif yang cukup lumayan. Selain daripada iru, SSP juga boleh dijadikan alternatif kepada cenderahati premium atau wang tunai seperti pemberian duit raya di musim perayaan, hadiah pertandingan dan sebagainya. Terdapat juga syarikat-syarikat yang memberikan SSP sebagai bonus, insentif atau anugerah perkhidmatan kepada kakitangan atau pelanggan mereka.”

Skim SSP telah diperkenalkan oleh BSN semenjak 29 tahun yang lalu dan sehingga kini terdapat 1.3 juta pemegang sijil SSP dengan jumlah simpanan melebihi 84 juta unit. Produk ini terus popular di kalangan masyarakat di Malaysia kerana dengan simpanan minimum sebanyak RM10, orang ramai berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah yang amat lumayan.

Hadiah tempat pertama yang ditawarkan oleh SSP untuk tahun 2007 ialah kereta mewah, Mercedes Benz E200K, C200K dan BMW302i. Selain itu BSN juga menawarkan hadiah-hadiah lain yang juga tidak kurang menarik seperti Perdana V6, Naza Citra, Myvi Ezi, Ford Ranger, pelbagai barangan elektronik yang berjenama dan pakej pelancongan untuk menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris secara langsung.

Majlis cabutan SSP pada tahun ini akan dibawa menjelajah ke seluruh negara di mana majlis akan diadakan di negeri-negeri yang berlainan setiap bulan. Antara negeri-negeri yang akan menerima kunjungan BSN adalah Seremban (Januari), Sungai Petani (Februari), Kuantan (Mac), Sarawak (Mei), Terengganu (Jun), Johor (Julai), Kuala Lumpur (Ogos), Perak (September), Selangor (Oktober), Kelantan (November) dan Pulau Pinang (Disember). Melalui sesi jelajah cabutan SSP ini, BSN berharap agar dapat mendekati para pelanggan dan masyarakat bagi memudahkan lagi mereka mendapatkan perkhidmatan serta produk-produk BSN sekaligus menjadikan BSN sebagai bank yang memberi lebih kelebihan kepada masyarakat.

Pembelian SSP boleh dibuat di semua rangkaian mesin ATM BSN, kaunter-kaunter di cawangan BSN seluruh negara serta promosi-promosi bergerak BSN yang diadakan dari masa ke semasa. Orang ramai boleh menyemak keputusan akhir cabutan bulanan di akhbar-akhbar utama setiap bulan, laman web BSN dan juga melalui SMS. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai SSP dan senarai hadiah bagi tahun 2007, layari laman web BSN di www.bsn.com.my

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN