|
KUCHING, 26 MEI 2007 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini telah mengadakan majlis cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi bulan Mei 2007 di Karnival BSN anjuran cawangan ibu negeri BSN di Kuching Waterfront, Kuching, Sarawak.
Karnival BSN di Kuching ini ialah merupakan sebuah acara berkonsepkan sebuah rumah terbuka di mana orang ramai berpeluang untuk mengetahui promosi istimewa yang sedang dijalankan oleh BSN dan rakan perniagaan strategik yang lain. Sepanjang berlansungnya karnival ini, orang ramai turut berpeluang menyertai pelbagai acara yang telah diaturkan. Di antaranya ialah pertandingan nyanyian karaoke, kuiz ‘Kenali BSN’, ‘Peraduan Menang & Menang Power Root & BSN’, peraduan mewarna untuk kanak-kanak serta persembahan tarian dan nyanyian. Promosi Karnival BSN ini berlansung selama dua hari bermula 25hb sehingga 26hb Mei 2007.
BSN yang dalam usaha mempergiatkan lagi promosi produk-produk dan perkhidmatannya ke seluruh negara, pada tahun ini, akan membawa majlis cabutan SSP menjelajah ke seluruh negara. Majlis cabutan SSP akan diadakan di negeri-negeri yang berlainan di seluruh negara pada setiap bulan dan memberi peluang kepada orang ramai yang hadir di majlis cabutan SSP untuk melihat sendiri bagaimana cabutan sijil simpanan premium dikendalikan dan dijalankan secara telus dan proffesional. Semua keputusan akhir cabutan akan disaksikan dan disahkan oleh wakil-wakil Badan Kerajaan yang berkecuali iaitu daripada Jabatan Aktuari Negara, Perbendaharaan Negara dan Audit Negara yang hadir.
Sarawak merupakan negeri kelima yang dikunjungi pada tahun ini. Jelajah majlis cabutan SSP untuk sepanjang tahun 2007 telah mengunjungi Seremban (Januari), Sungai Petani (Februari), Kuantan (Mac), Melaka (April) dan akan mengunjungi Terengganu (Jun), Johor (Julai), Kuala Lumpur (Ogos), Perak (September), Selangor (Oktober), Kelantan (November) dan Pulau Pinang (Disember). Seiring dengan moto “Banyak Kelebihannya”, BSN berharap melalui siri jelajah majlis cabutan SSP ini, BSN dapat mendekati orang ramai di seluruh Malaysia dan para pelanggan bank dan memudahkan mereka mengenali dan mendapatkan produk SSP dan juga produk dan perkhidmatan yang lain yang turut dipromosikan dan ditawarkan oleh BSN pada masa yang sama.
Semasa memberi ucapan di majlis, Pengurus Cawangan BSN di Negeri Sarawak, Encik Tan Han Bangtelah menerangkan faedah-faedah yang boleh diperolehi sekiranya seseorang memilih untuk menyimpan melalui skim sijil simpanan premium ini. “Anggapan bahawa SSP adalah hanya sebuah skim simpanan adalah kurang tepat kerana SSP memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk menyertai dan mendapat pulangan yang lumayan. Malah, sekiranya terdapat keperluan yang tidak dijangka, pemegang sijil yang berkelayakan boleh memohon skim pembiayaan sandaran SSP. Tanpa perlu menebus sijil, pinjaman boleh dimohon sehingga 95% daripada nilai sijil pada kadar tetap 4%.”
Produk SSP telah mula diperkenalkan oleh BSN sejak 29 tahun yang lalu dan ianya adalah produk simpanan BSN berbentuk sijil serta memberi peluang kepada para pemegang sijil untuk memenangi pelbagai hadiah-hadiah menarik dan eksklusif dengan hanya simpanan minima RM10. Di antara hadiah-hadiah menarik yang menjadi rebutan adalah seperti kereta-kereta mewah Mercedes-Benz C200K, E200K dan BMW 320i. Hadiah-hadiah lain yang juga tersenarai untuk dimenangi sepanjang 2007 adalah termasuk MPV Naza Citra 2.0, Perdana V6, Ford Ranger, Proton Waja dan Gen2, Perodua Myvi Ezi, Modenas X-CITE 130, pakej pelancongan yang eksklusif ke Eropah untuk menyaksikan perlawanan EPL secara langsung, LCD TV 32”, langganan perkhidmatan Astro MAX sepanjang setahun, dan banyak lagi.
Tahun ini, BSN turut menambah bilangan hadiah yang boleh dimenangi oleh para penyimpan skim SSP iaitu daripada 1,536 hadiah setiap bulan tahun lepas kepada 1558 untuk tahun ini. Dengan itu jumlah keseluruhan bilangan hadiah yang ditawarkan pada tahun ini bertambah sebanyak 18,696 buah setahun berbanding 18,432 pada tahun lepas.
Pembelian SSP kini boleh dibuat di semua rangkaian mesin ATM BSN, kaunter-kaunter di cawangan BSN seluruh negara serta promosi-promosi bergerak BSN yang diadakan dari masa ke semasa.Orang ramai boleh menyemak keputusan cabutan SSP setiap bulan serta hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan di dalam akhbar-akhbar utama, melalui SMS atau melalui laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my.
|