|
KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntukkan zakat berjumlah RM596,278.83 kepada pusat pungutan zakat negeri bagi pendapatan keuntungan produk Skim Perbankan Islamnya (SPI) bagi tahun kewangan 2006.
Timbalan Pengurus Besar I (Perbankan Konsumer) BSN Jamaluddin Nor Mohamad berkata langkah itu merupakan salah satu hasrat memenuhi tanggung jawab korporat dan sosialnya kepada masyarakat.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Jamaluddin berkata pihaknya percaya zakat itu akan disalurkan kepada pihak yang memerlukannya dengan baik.
"Berkat sokongan para pelanggan BSN terhadap Skim Perbankan Islam BSN, kami berharap lebih banyak lagi keuntungan SPI dapat kami agih dan sumbangkan kepada pusat zakat pada masa akan datang," katanya.
Melalui SPI ini, BSN menyediakan perkhidmatan perbankan pilihan yang menarik dan tidak bercanggah dengan syariah selain memberi peluang kepada umat Islam untuk mempraktikkan cara hidup Islam sepenuhnya terutamanya dari segi perbankan.
BSN turut menubuhkan Jawatankuasa Syariah BSN untuk memberi khidmat nasihat kepada BSN mengenai aspek Syariah di dalam operasi bank, termasuk produk dan perkhidmatan dan memastikan agar sentiasa mematuhi prinsip Syariah.
Antara produk perbankan Islam BSN adalah Akaun Simpanan-i, Akaun Pelaburan-i, Pembiayaan Perumahan (BBA Home), Pembiayaan Peribadi (SPD-i) dan Kad Kredit Al Aiman.
Sementara itu, Jamaluddin yang mewakili BSN telah mengagihkan zakat RM52,636.95 bagi tahun kewangan 2006 kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdullah Md Zain pada satu majlis di sini.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengurus Bahagian Perbankan Islam BSN Jalaluddin Mohd Arif dan Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat BSN Emilia Azyyati Abd Rahman, serta ahli majlis MAIWP.
|