|
Semanggol, 29 Januari 2006 – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengadakan Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) yang pertama bagi tahun 2006 di Bukit Merah Laketown Reosrt. Bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina dan sambutan Maal Hijrah, cabutan SSP bagi bulan Januari menjanjikan pelbagai hadiah termasuk sebuah kereta Mercedes-Benz E200K sebagai hadiah kepada pemenang pertama.
Kemuncak acara cabutan pada bulan ini ialah pengumuman hadiah-hadiah cabutan SSP bagi tahun 2006. Sejumlah 1536 hadiah-hadiah yang menarik dan eksklusif menanti pemenang pada tahun ini berbanding 1422 hadiah pada tahun 2005. Kategori hadiah turut ditambah kepada 12 kategori berbanding 8 kategori pada tahun sebelumnya. Penambahan hadiah dan kategori pada tahun ini adalah selaras dengan usaha BSN untuk menarik minat orang ramai untuk menabung serta memberi lebih banyak peluang kepada pemegang-pemegang SSP untuk memenangi hadiah-hadiah yang ditawarkan.
Antara hadiah-hadiah untuk tahun 2006 adalah Mercedes-Benz E200K, Mercedes Benz C180K, BMW 523i (A), BMW 320i (A), Ford Ranger 2.5 4x2, Proton Perdana 2.0 V6, Proton Waja 1.6 (A), Proton Gen2 1.6 (A) dan Modenas Krsitar MN110E. Menyedari meningkatnya minat terhadap teknologi terkini, tahun ini BSN turut menawarkan peralatan elektronik berteknologi tinggi seperti TV plasma i-trued 42’’, TV LCD 20’’, i-pocket ‘cinema’ 9’’ dan perakam i-DVD.
Sementara itu, peminat-peminat bola sepak pastinya akan teruja kerana salah satu hadiah hebat yang ditawarkan pada tahun ini ialah pakej lawatan 4hari/3malam Liga Premier Inggeris (EPL) untuk 2 orang termasuk tiket penerbangan, penginapan, tiket menonton perlawanan bola EPL serta lawatan ke beberapa tempat menarik sekitar England.
Menurut Tajuddin Atan, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN, “Dengan lebih 1 juta pemegang sijil, SSP kekal sebagai produk simpanan yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Tarikan utama SSP adalah dengan membuat pelaburan minimum sebanyak RM 10, pemegang-pemegang SSP berpeluang memenangi hadiah-hadiah yang sangat hebat. Hadiah-hadiah ini adalah lebih tinggi nilainya jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat. “
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Calvin Ho, Pengurus Besar Bukit Merah Laketown Resort dan Mohd Firdaus Raj Abdullah, Pengarah Taman Tema Bukit Merah Laketown Resort. Bukit Merah Laketown Resort sebuah destinasi pelancongan popular di Perak adalah rakan strategik BSN.
Produk SSP telah diperkenalkan oleh BSN 28 tahun yang lalu dengan objektif untuk memupuk dan menggalakkan tabiat menabung di kalangan rakyat Malaysia. Di samping menyimpan melalui pembelian SSP, semua pemegang SSP berpeluang untuk menyertai cabutan bulanan dan memenangi pelbagai hadiah yang menarik dan eksklusif. Pemenang SSP termuda setakat ini ialah seorang pelajar perempuan daripada Terengganu yang telah memenangi sebuah kereta Mercedes-Benz E200K untuk cabutan bulan Ogos 2005. Keputusan cabutan disiarkan di dalam akhbar serta laman web rasmi BSN di www.bsn.com.my.
|