BANK SIMPANAN NASIONAL LANCAR KAD KREDIT AL AIMAN





KUALA LUMPUR, 22 Disember 2006 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini melancarkan kad kredit AL AIMAN iaitu kad kredit Islam yang berpandukan prinsip Syariah. BSN yang kini mempunyai hampir 8 juta pelanggan sedang agresif dalam mempelbagaikan produknya termasuk produk-produk baru dan inovatif di bawah Skim Perbankan Islam bagi memenuhi kehendak pasaran.

Dengan menggunakan motto “Kebebasan Yang Luhur”, kad kredit AL AIMAN layak dipohon oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa serta adalah berpandukan prinsip Syariah dan konsep Bai Al Inah iaitu konsep jual beli atau akad di antara pemilik kad dan BSN.

Kad kredit AL AIMAN juga adalah bebas daripada unsur-unsur riba’ (kadar faedah) dan gharar’ (kos-kos terselindung) selain tidak boleh digunakan di premis-premis yang tidak disenaraikan oleh Majlis Syariah.

Antara kelebihan kad kredit AL AIMAN adalah:

- Caj kewangan terendah pada 15% setahun atau 1.25% sebulan
- Tiada caj keuntungan berganda (penjimatan 1.6% setahun)
- Yuran tahunan percuma untuk tahun pertama bagi pemegang kad utama dan kad tambahan
(jimat RM 125 untuk Kad emas dan RM 60 untuk Kad klasik setahun)
- Keselesaan pembayaran di kaunter-kaunter dan mesin-mesin ATM BSN


Tajuddin Atan, Pengurus Besar / Ketua Eksekutif BSN berkata, ”Sejak bertahun lamanya, BSN telah melaksanakan mandatnya kepada Kerajaan dan telah berkembang menjadi sebuah institusi Kewangan yang lebih dinamik serta menawarkan produk perbankan konsumer dan runcit. Kami adalah agresif di dalam mempertingkatkan produk perbankan konvensional dan simpanan kami di samping terus memperkembangkan produk perbankan Ismlan bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan kami untuk memenuhi keperluan perbankan mereka. Pelancaran AL AIMAN menggambarkan komitmen dan inisiatif berterusan BSN dalam memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan yang semakin meningkat.”

BSN berhasrat untuk merapatkan jurang di antara melaksanakan mandatnya kepada Kerajaan dan memenuhi kehendak pelanggan dengan menawarkan pelbagai serta kemudahan yang inovatif di samping terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya. Tambah Tajuddin Atan, BSN akan memperkenalkan skim mikro kewangan tidak lama lagi untuk memenuhi keperluan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Majlis pelancaran kad kredit AL AIMAN disempurnakan oleh YB Senator Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan II Malaysia. Di dalam ucapan beliau, YB Tan Sri Nor melahirkan rasa bangganya terhadap BSN kerana telah Berjaya melaksanakan strategi yang membawa perubahan positif kepada BSN. Beliau juga yakin dengan potensi BSN untuk terus berkembang dan menjadi sebuah institusi Kewangan yang dinamik.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN