Bank-bank Simpanan Sedunia Bersedia Menukar Cabaran-Cabaran Globalisasi kepada Peluang Pemasaran





Persidangan Institut Bank-bank Simpanan Sedunia ke-21 (21st WSBI World Congress) telah dilancarkan di Kuala Lumpur, Malaysia pada hari ini. Tema bagi Kongres ini ialah “Savings banks, the retail gateway to a global market – Driving sustainable development”,” yang menggambarkan cabaran-cabaran bakal dihadapi oleh bank-bank simpanan sedunia dalam menghadapi globalisasi. Kongres ini bermatlamat untuk membincangkan peluang-peluang yang terbuka untuk bank-bank simpanan sedunia dan bank-bank runcit sepertinya di pasaran dunia melalui transaksi perbankan dengan mendekati pelanggan. Ia juga bertujuan untuk mempamirkan peranan bank-bank simpanan yang mampu berfungsi untuk menyumbang kepada keperluan ekonomi dan sosial serantau.

Di antara penceramah-penceramah yang berpengalaman turut serta dalam Kongres ini adalah, Dr. Supachai Panitchpadki, Ketua Setiausaha Tertinggi United Nations Committee for Trade and Development (UNCTAD), Hamish McRae, Pakar Ekonomi dan penulis “The World in 2020” dan Charles Dallara, Pengarah Urusan Institut Kewangan Antarabangsa. Seramai 383 delegasi daripada 55 buah negara telah hadir untuk menyertai Kongres ini.

Jose Antonio Olavarrieta, Presiden Institusi Bank-Bank Simpanan Sedunia (WSBI) telah menyuarakan hasrat beliau untuk melihat delegasi-delegasi yang merupakan ahli-ahli WSBI daripada Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Selatan, pakar-pakar dalam Bidang Perbankan, penggubal undang-undang, dan wakil-wakil Persatuan Awam untuk memainkan peranan masing-masing bagi dalam menghadapi cabaran globalisasi bagi memastikan bank-bank simpanan kekal relevan dan boleh memenuhi kehendak pasaran dunia. Persidangan ini turut membincangkan jalan-jalan penyelesaian secara global yang mampu membawa faedah kepada semua pelangan-pelangan perbankan runcit.

Menurut Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN),

“Penganjuran Kongres ini di Kuala Lumpur mencerminkan sokongan padu Bank Simpanan Nasional sebagai Bank Simpanan yang unggul dan berpengalaman di Malaysia di dalam memainkan peranan dan memenuhi mandatnya ke arah pembangunan ekonomi dan sosial negara.”

“Dengan membuka peluang untuk bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan pemasaran di antara ahli-ahli WSBI, Kongres ini akan dapat menggalakkan inovasi di dalam bidang kewangan di samping menerajui produk-produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dalam menghadapi globalisasi. Kongres ini juga dapat membincangkan strategi-strategi ke arah menyumbang kepada sosio-ekonomi sesebuah negara,” tambah beliau.

Bank Simpanan Nasional adalah tuan rumah kepada Kongres WSBI. BSN telah menjadi ahli WSBI sejak tahun 1977 dan telah menjadi tuan rumah bagi simposium antarabangsa mengenai “The Mobilization of Personal Savings in Developing Countries” dengan kerjasama Institusi Perbankan Simpanan Sedunia (ISBI) pada tahun 1982.

 

Rujukan : Siaran Akhbar BSN