|
Kuala Lumpur, 20 September 2006 - Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi Bank Simpanan Nasional telah dilantik sebagai Naib Presiden dan Bendahari kepada Institut Bank-bank Simpanan Sedunia (WSBI). WSBI adalah merupakan salah satu persatuan perbankan yang besar di peringkat antarabangsa dan satu-satunya wakil di peringkat global untuk bank-bank simpanan dan peruncitan. Ditubuhkan pada tahun 1924, ia mewakili lebih daripada 1,100 bank-bank daripada 85 negara termasuklah ahli-ahli Kumpulan Perbankan Simpanan Eropah (European Savings Banks Group – ESBG). Ia bekerjasama secara rapat dengan institusi-institusi perbankan antarabangsa dan banyak membantu projek-projek perbankan untuk membangunkan sektor perbankan sedunia. BSN telah menjadi ahli kepada WSBI sejak 7 Jun 1977.
Dato’ Abdul Azim telah dicalonkan dan dilantik untuk memegang jawatan-jawatan tersebut ketika mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah WSBI yang diadakan sempena dengan Kongres WSBI Sedunia yang ke-21 yang diadakan pada 21-22 September 2006. Ini merupakan satu penghormatan kepada Malaysia kerana Dato’ Abdul Azim adalah rakyat Malaysia pertama yang dilantik untuk kedua-dua jawatan tersebut. Dato’ Abdul Azim juga adalah Bendahari kepada Pertubuhan UMNO dan Bendahari Agong Barisan Nasional.
Menurut Dato’ Abdul Azim:
“Saya amat menghargai segala penghormatan dan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli WSBI untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Naib Presiden dan Bendahari. Dengan pengalaman dan pengetahuan yang telah saya peroleh semenjak dahulu lagi, saya berharap agar saya dapat menyumbang kepada komuniti bank-bank simpanan sedunia dan juga semestinya untuk melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik bagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Saya juga amat berharap agar dapat berkongsi agenda dan minat yang mendalam di dalam subjek tanggungjawab sosial korporat dan memainkan peranan yang lebih besar di dalam mengimbangi pengukuhan kewangan dan dividen sosial”
|