|
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2006 - Bank Simpanan Nasional (BSN) menyambut baik saranan kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui pemberian kemudahan pinjaman kewangan. Saranan ini dilihat sebagai mandat tambahan kepada BSN dan selaras dengan salah satu objektif utama BSN iaitu menggunakan dana Bank bagi tujuan pelaburan termasuk membiayai pembangunan ekonomi Negara.
Walaupun telah diberikan mandat tambahan, BSN akan terus komited dalam memasarkan dan membangunkan produk-produk simpanan konvensional seperti Akaun Simpanan GIRO dan Sijil Simpanan Premium serta produk simpanan perbankan Islam seperti Akaun Simpanan Al-Wadiah dan Al-Mudharabah. BSN juga telah melancarkan tabung baru BSN bagi menggalakkan kanak-kanak menyimpan. Usaha-usaha ini adalah selaras dengan mandat BSN yang sedia ada iaitu memajukan dan menggembleng simpanan serta menggalakkan tabiat berjimat cermat dan menyimpan wang. Di dalam erti kata lain, BSN masih lagi meneruskan tanggungjawabnya sebagai sebuah Bank Simpanan.
Menurut Dato' Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN, "Pelancaran skim pinjaman kepada pengusaha kecil kelak adalah berasaskan nilai-nilai komersial dan tambahan kepada produk pinjaman sedia ada seperti pinjaman peribadi, perumahan, kad kredit dan sewa beli kenderaan. Skim ini tidak berunsurkan pemberian bersubsidi dan pinjaman akan diberikan kepada usahawan mikro yang menjalankan aktiviti perniagaan yang berdaya maju. Faedah yang akan dikenakan juga adalah pada kadar komersial dengan insentif pembayaran balik diberikan kepada peminjam yang bertangunggjawab."
"Peminjam perlu memenuhi kriteria-kriteria yang akan ditetapkan. Keutamaan akan diberikan kepada perusahaan-perusahaan yang mempunyai rekod perniagaan dan operasi yang baik serta memerlukan dana untuk memperkembangkan lagi perusahaan mereka," tambahnya lagi.
Kemudahan Bilik pinjaman yang akan diperkenalkan akan memberi kemudahan pinjaman dengan jumlah maksimum sebanyak RM 50,000 untuk tempoh sehingga lima tahun. Kelayakan menerima pinjaman ini akan bergantung kepada potensi daya maju dan penilaian kredit pemohon. BSN akan bekerjasama dengan pihak BNM untuk menyediakan prosedur-prosedur yang komprehensif bagi membolehkan PKS mendapat pakej kewangan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan perusahaan mereka.
Kemudahan Bilik pinjaman mikro kewangan ini dijangka akan dilancarkan pada suku terakhir tahun ini dan kadar faedah serta syarat-syarat kelayakan akan turut diumumkan kelak. BSN akan mengoptimumkan penggunaan sumber dan kepakaran kakitangan yang sedia ada di samping memberi latihan dan pemahaman mengenai produk pinjaman mikro kewangan ini kelak. Ketika ini BSN sedang giat dalam memasarkan produk-produk pinjamannya seperti pembiayaan peribadi dan perumahan kepada mereka yang berkelayakan. BSN menawarkan pelbagai produk konvensional dan Islamik yang boleh dipilih oleh seluruh rakyat Malaysia. Maklumat-maklumat mengenai produk-produk BSN termasuk skim pinjaman kewangan ini juga akan dipaparkan di dalam laman web BSN di www.bsn.com.my.
|