|
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2006 - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini melancarkan Tabung Bistari dan nama baru Akaun GIRO Kanak-Kanak BSN iaitu Akaun GIRO Bistari. Pelancaran ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan BSN untuk memupuk budaya menabung dan menyimpan di kalangan kanak-kanak sehingga dewasa. Usaha ini adalah sejajar dengan mandat BSN iaitu memajukan dan menggembleng simpanan serta menggalakkan tabiat berjimat cermat dan menyimpan wang.
Tabung Bistari telah dicipta dengan mengambil reka bentuk Pohon Pitis yang juga merupakan Logo BSN yang sudah sangat sinonim dengan BSN. Reka bentuk ini dipilih kerana ia bersesuaian dengan makna-makna di sebalik pohon pitis itu sendiri iaitu pitis bererti wang atau duit syiling yang melambangkan simpanan wang, pohon atau pokok melambangkan simpanan wang di dalam BSN yang sentiasa berkembang dan 13 keping pitis atau duit syiling melambangkan rangkaian-rangkaian cawangan BSN di 13 buah Negeri di seluruh Malaysia yang sedia memberi perkhidmatan kepada rakyat di seluruh negara.
Akaun GIRO Bistari pula adalah merupakan nama baru kepada Akaun Giro Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang membuka Akaun Giro dengan BSN. Nama baru ini telah diberikan sebagai langkah untuk menarik minat serta menyerlahkan akaun tersebut terutamanya di kalangan kanak-kanak sekolah. Pemilihan nama ‘Bistari’ adalah berdasarkan kepada makna Bistari itu sendiri yang mencerminkan pandai, bijak dan cerdik serta bersesuaian dengan Tabung Bistari yang memberi makna menabung, menyimpan duit dan simpanan yang sentiasa berkembang. Gabungan gandingan ini akan memberi maksud bijak atau cerdik menabung dan menyimpan duit untuk masa hadapan. Ini bersesuaian dengan moto Akaun GIRO Bistari itu sendiri iaitu “Kanak-kanak Bistari, Bijak Menabung Untuk Masa Hadapan.”
Menurut Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN, “BSN mahu memupuk budaya menabung daripada kecil dan diteruskan dengan menyerapkan budaya menyimpan sehingga dewasa dengan menjadikan menabung mudah dan menarik. BSN telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk menarik generasi muda menabung dan meneruskan usaha ini sehingga mereka dewasa melalui produk dan skim-skim simpanan seperti Akaun Simpanan GIRO dan Al-Wadiah serta Sijil Simpanan Premium (SSP). Di samping itu keselesaan untuk menyimpan disediakan melalui 387 rangkaian cawangan BSN yang ada di seluruh Malaysia.”
Tabung Bistari akan diberi percuma kepada kanak-kanak yang membuka Akaun GIRO Bistari dengan simpanan minimum RM10.00. Pembukaan Akaun GIRO Bistari terhad kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah mengikut tahun lahir mereka. Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Encik Tajuddin Atan, Pengurus Besar/Ketua Eksekutif BSN dan wakil daripada Bank Negara Malaysia. BSN turut menyerahkan Tabung Bistari kepada pelajar-pelajar daripada Sekolah Kebangsaan Sri Cheras dan kanak-kanak daripada Rumah Titian Kaseh serta Pusat Kebangsaan Autisme Malaysia.
Maklumat-maklumat mengenai Tabung Bistari, Akaun GIRO Bistari dan produk-produk BSN boleh diperoleh di dalam laman web BSN di www.bsn.com.my.
|