|
Seremban, 12 Oktober 2006 - Sempena bulan Ramadhan, Bank Simpanan Nasional (BSN) telah meraikan anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, warga-warga emas dan orang kurang upaya (OKU) pada majlis berbuka puasa BSN. Majlis ini telah diadakan di cawangan utama BSN Negeri Sembilan dan dihadiri oleh lebih 400 orang tetamu.
Bagi meringankan beban kewangan dalam menyambut musim perayaan yang akan tiba, YBhg Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi, Pengerusi BSN dan En. Tajuddin Atan, Pengurus Besar / Ketua Eksekutif BSN telah meyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 orang anak-anak yatim, 36 orang ibu tunggal, 14 orang warga emas dan 9 orang OKU yang hadir. Anak-anak yatim yang diraikan turut menerima sumbangan barangan berupa peralatan sekolah serta pek makanan daripada BSN.
Menurut YBhg Dato’ Abdul Azim Mohd Zabidi, “
“Usaha membantu golongan yang kurang bernasib baik dan berkemampuan adalah suatu amal kebajikan yang perlu dilaksanakan dari masa ke semasa. Sebagai sebuah Bank Simpanan kepada masyarakat, keprihatinan dan kewajipan untuk menghulurkan bantuan adalah merupakan tanggungjawab sosial serta komitmen berterusan BSN kepada rakyat. Semoga sumbangan yang diberikan dapat sedikit sebanyak meringankan beban kewangan di samping menceriakan lagi suasana perayaan mereka kelak. Saya juga berharap golongan ini terutamanya anak-anak, akan bijak untuk menyimpan, menabung dan berbelanja dengan berhemah sebagai persediaan menghadapi masa hadapan.”
Selain daripada majlis berbuka puasa dan penyampaian duit raya, sesi tazkirah mengenai fadhilat bulan Ramadhan dan kepentingan menyimpan serta berjimat cermat turut diadakan pada sebelah petangnya. Tetamu yang hadir turut sama-sama menunaikan solat terawikh secara berjemaah.
|