|
|
|
Sejarah Dan
Perkembangan Bank Simpanan Di Malaysia – Sepintas Lalu
Perkhidmatan Bank Simpanan di Malaysia bermula pada akhir kurun yang ke 19.
Bank-bank yang pertama sekali iaitu Bank Simpanan Negeri Perak ditubuhkan dalam
tahun 1888 dan Bank Simpanan Negeri Selangor ditubuhkan dalam tahun 1893
telah ditadbirkan oleh Perbendaharaan
negeri-negeri yang berkenaan sehingga bank-bank itu diambil alih oleh Jabatan
Pos. Dalam tahun 1907 Bank Simpanan Negeri Perak dan Selangor dimansuhkan dan diletak
di bawah Bank Simpanan Pejabat Pos Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang juga
memberi perkhidmatan di Negeri Sembilan dan Pahang. Pada ketika itu ia
mempunyai 3,320 orang penyimpan dengan jumlah wang hanya lebih kurang RM340,000
dalam kredit mereka.
Perkhidmatan Bank Simpanan yang berasingan di bawah Bank Simpanan Pejabat
Pos Negeri-Negeri Selat juga telah wujud di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura
pada tahun 1902, manakala Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah pun
mempunyai Bank Simpanan Pejabat Pos masing-masing beberapa tahun sebelum Perang
Dunia yang Kedua.
Semenjak tahun 1949 wang simpanan dalam Bank Simpanan Pejabat Pos telah
semakin bertambah. Dalam tahun itu ianya mempunyai 229,652 orang penyimpan
dengan jumlah kredit sebanyak RM47.2 juta. Pada masa pelancarannya 5 Disember
1974, Bank Simpanan Nasional Malaysia mempunyai lebih daripada 2.5 juta orang
penyimpan. Jumlah wang yang terkumpul dalam bank ini adalah melebihi RM537 juta.
Dari jumlah ini lebih dari RM526 juta
telah dilaburkan dalam sekuriti-sekuriti kerajaan. Jumlah dalam kredit
penyimpan-penyimpan ialah melebihi RM511 juta. Pada akhir tahun 1981, Bank ini
mempunyai 4.3 juta penyimpan dengan jumlah simpanan terkumpul sebanyak lebih
RM1.2 bilion.
Dengan tertubuhnya Bank Simpanan Nasional, satu babak baru telah tercipta
dalam sejarah institusi simpanan wang di Negara ini. Akta Bank Simpanan
Nasional 1974 memperuntukkan pemindahan kuasa pengurusan dari Jabatan Perkhidmatan
Pos kepada Lembaga Pengarah yang mengambil alih tugas-tugas dan tanggungjawab
mengenai perjalanan bank ini mengikut tujuan Akta tersebut.
|
|



|
|
Kemajuan
Dalam tahun pertama urusannya semenjak menjalankan fungsi-fungsi Bank
Simpanan Pejabat Pos pada 1 Disember 1974. Bank Simpanan Nasional telah
menumpukan usaha-usahanya kepada penyusunan semula dan penyelarasan organisasi serta memudahkan
peraturan-peraturan supaya dapat menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang
lebih baik kepada penyimpan-penyimpannya di setiap pelosok Negara. Bagi
mencapai tujuan ini Bank ini telah membahagikan kuasa pentadbiran dan kawalan
ke atas kegiatannya dengan menubuhkan pejabat-pejabat cawangan sendiri di
bandar-bandar besar di seluruh Negara. Di kawasan yang tidak memerlukan pejabat
cawangan, pejabat-pejabat pos dan pos bergerak dengan kemudahan bank simpanan
terus digunakan untuk menggerakkan tabungan. Dalam pada itu, kempen publisiti
yang giat untuk menyemaikan tabiat berjimat-cermat dan suka menyimpan wang di
kalangan orang ramai telah dijalankan pada peringkat nasional. Bahagian
Perhubungan dan Pemasaran Bank ini telah ditubuhkan untuk mengatur
lawatan-lawatan ke sekolah-sekolah, pusat-pusat perniagaan dan balai-balai raya
untuk menerangkan kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh bank ini dan untuk
menarik lebih ramai penyimpan.
Bank ini terus memberi khidmat kepada penyimpan-penyimpannya melalui 526
pejabat pos, termasuk 135 unit pos bergerak yang bertindak sebagai ejen-ejen
kepada Bank. Tabungan bersih dengan bank ini dalam tahun 1975 bertambah sebanyak
6.2 peratus atau RM32.5 juta.
Dalam tahun 1976, Bank ini telah menambah tiga buah lagi unit bergerak
menjadikan bilangan unit bergerak kepada lima. Unit-unit ini bersama-sama
dengan rangkaian pejabat pos sebagai agen-agen Bank, telah membolehkan Bank
Simpanan Nasional menyediakan perkhidmatan yang lebih luas kepada para
penyimpannya terutamanya yang dari luar Bandar.
|
|


|
|
Petikan Ucapan
Pelancaran Oleh Allahyarham YAB Tun Haji Abd. Razak Bin Husein, Perdana Menteri
Kedua Malaysia.
“Bank Simpanan Nasional merupakan satu bentuk baru dalam usaha kita memupuk
perasaan bercermat dengan tujuan supaya orang ramai digalakkan menyimpan wang
pendapatan mereka. Ianya akan mengekalkan ciri-ciri yang terbaik dan Bank
Simpanan Pejabat Pos di samping membawa beberapa pembaharuan sesuai dengan
keadaan masa kini.
Saya berharap dengan pelancaran Bank Simpanan Nasional hari ini, ia akan
berkembang sebagai sebuah institusi simpanan yang utama dan akan meluaskan
kempen simpanan oleh Kerajaan iaitu sebagai langkah anti-inflasi dan juga
mempercepatkan pembangunan Negara. Oleh yang demikian Bank Simpanan Nasional
mempunyai peranan yang sangat penting dalam kehidupan rakyat dan kemajuan Negara.”
Dewan Tunku Abdul Rahman
Kuala Lumpur
5 Disember 1974
|
|


|
|
Objektif BSN
Objektif utama Bank ialah:
a) Untuk memaju dan menggembleng simpanan khususnya dari penyimpan-penyimpan
kecil dan untuk menggalakkan tabiat berjimat cermat dan menyimpan wang;
b) Untuk mengadakan saluran bagi orang awam amnya menyimpan wang;
c) Untuk menggunakan wang Bank itu bagi pelaburan termasuk membiayai
pembangunan ekonomi Negara;
d) Untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab Bank Simpanan Pejabat Pos dan
e) Memajukan kepentingan-kepentingan pendeposit dan lain-lain pelanggannya.
|
|


|
|
Legenda Logo BSN
Simbol ‘pohon pitis’ yang merupakan tema logo Bank ini adalah merupakan
pokok pitis yang diukir dari timah sebanyak 13 keping seperti yang dikeluarkan
semasa pemerintahan Sultan Muhammad Ke-IV di Negeri Kelantan dalam tahun 1903,
ketika Negeri itu masih lagi di bawah takluk Negeri Siam. Pada duit syiling itu
tertulis “THURIBA FI ZUL-HIJJAH SANAT 1321”, iaitu diperbuat dalam bulan Zulhijah
tahun Masihi 1903. Di sebalik duit syiling itu pula tertulis “BELANJAAN
KERAJAAN KELANTAN”, iaitu bererti Mata wang Kerajaan Kelantan. Perkataan
‘pitis’ bererti ‘wang’ mengikut loghat Kelantan dan ia merupakan salah satu
pecahan mata wang yang digunakan di Kelantan sehingga tahun 1920.
|
|

|
|
Keistimewaan Logo BSN
Duit syiling melambangkan simpanan wang dan pokok pada logo melambangkan
bahawa simpanan dalam Bank Simpanan Nasional senantiasa berkembang. Duit-duit
syiling telah dipilih untuk melambangkan simpanan untuk menunjukkan bahawa Bank
Simpanan Nasional adalah merupakan sebuah Bank yang dipunyai oleh rakyat dan
bahawa walau bagaimana kecil sekali pun simpanan dibuat, ia tetap diterima.
Keistimewaan logo ialah matlamatnya hendak menggalakkan jimat cermat dan
menyemaikan tabiat suka menyimpan wang, serta hakikat kedudukan Bank ini
sebagai Bank untuk penyimpan-penyimpan kecil dan juga penyimpan-penyimpan
besar. 13 keping duit syiling dalam Malaysia serta membawa pengertian
perkhidmatan ke seluruh Negara.
|
|

|
|
< Peredaran Peristiwa >
|
|
|
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami
Bahagian Khidmat Pelanggan
Bank Simpanan Nasional,
Wisma BSN, 117, Jalan Ampang
50450 Kuala Lumpur
Tel: 603-2142 5258 Faks: 603-2710 7252
e-mel: servicemanager@bsn.com.my
atau
kunjungi mana-mana Cawangan BSN yang berhampiran
Copyright © 2007 Bank Simpanan Nasional. All rights reserved.
|